Laman Utama
"Mama Kerja Kilang Besarkan Kami..." - Kaka Azraff Dedikasi Kejayaan Buat Ibu Tercinta
Penyanyi yang juga juara Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35), Kaka Azraff mendedikasikan kejayaannya untuk ibu tercinta.
Menurut Kaka, ibunya telah banyak berkorban untuk dia serta tiga adik beradik lain.
Perkara itu dikongsi menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya.
"Semuanya untuk Mama, Kaka pilih bidang ini sebab Kaka minat dan nak bantu keluarga Kaka.
"Kaka nak senangkan Mama, nak Mama relaks, sebab Kaka tahu macam mana susahnya Mama besarkan kami empat beradik," tulisnya sebagai kapsyen.
Tambah Kaka, ibunya pernah bekerja kilang dan menyara anak-anak hanya dengan hasil usaha sendiri selepas kematian suami.
"Selepas Ayah meninggal, Mama sorang-sorang besarkan kami, kerja kilang, shift pagi, petang, malam tapi tak pernah complain.
"Besar pengorbanan Mama, tak mungkin dapat Kaka balas segala jasamu, terima kasih Mama untuk segalanya," tulisnya lagi.
Menjengah ruangan komen entri berkenaan, ramai pengikut Kaka yang tersentuh membaca perkongsiannya itu.
Dalam pada itu, ramai juga yang mengucapkan tahniah atas kejayaannya di pentas AJL35 baru-baru ini.
Ahad lalu, Kaka bersama Loca B dan Noki dinobatkan sebagai juara AJL35 menerusi lagu Gila.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing diduki oleh penyanyi berbakat Aina Abdul dan Wany Hasrita bersama Datuk Jamal Abdillah.
Manakala Ernie Zakri memenangi kategori vokal terbaik diikuti Zizi Kirana untuk persembahan terbaik.