Laman Utama
#MamiPiqahCorner: Apa Nasib Mak-Mak PKPD Esok? Ibu Tunggal Pun Tertekan PdPR Pukul Anak Sampai Lebam
Cerita kemurungan diri sejak akhir-akhir ini bukan satu perkara asing lagi di negara kita. Baru-baru ini kita sering dengar berita-berita ngeri orang bunuh diri kerana tertekan dek situasi pandemik sekarang.
Mami Piqah makin bimbang melihat ramai yang tidak tahan menanggung tekanan serta masalah yang dihadapi tidak kira dari segi kewangan mahupun keluarga.
Bagi yang sudah berkeluarga, terutama kaum ibu pula sejak tahun lalu sudah tertekan dengan norma baharu apabila terpaksa menghadap Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak di rumah.
Terbaharu, Mami Piqah sedih mendengar kisah ibu tunggal yang tertekan dengan PdPR anaknya sehingga menyebabkan dia bertindak memukul anaknya sehingga lebam.
Puncanya? Ibu tunggal itu terpaksa bekerja dan mencari pendapatan untuk menyara keluarga seorang diri ditambah pula dengan tekanan dari guru yang mengadu mengenai masalah pembelajaran anaknya.
Justeru ibu tunggal itu melempiaskan tekanan dan kemarahannya kepada anaknya dengan mengetuk jari anaknya sehingga lebam.
Namun Mami Piqah bersyukur kerana ibu tunggal itu telah menyesali perbuatannya dan timbul rasa bersalah kepada anaknya.
Bukan mudah nak mengawal emosi di waktu sekarang ini, lebih-lebih lagi ramai yang kecewa apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan mulai esok di beberapa kawasan Selangor dan Kuala Lumpur.
Mami Piqah berharap ibu-ibu bertabah lah kerana dalam tempoh ini bila semua anak-anak di rumah sepanjang hari pasti banyak perkara yang perlu difikirkan terutama nak menguruskan makan minum mereka dari pagi hingga ke malam.
Nasihat Mami Piqah kepada ibu-ibu minta lah bantuan bapa juga untuk membantu meringankan beban harian anda di rumah. Tekanan dalam tempoh sekarang ini tidak baik untuk kesihatan anda.
Manfaatkan masa yang ada ini untuk bergembira serta melakukan banyak aktiviti bersama anak di rumah.
Kesimpulannya, apa pun yang dilakukan ingat dan sayangilah keluarga anda bertenang serta berfikir seketika sebelum bertindak melakukan sesuatu yang boleh merugikan hidup anda.