Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

#MamiPiqahCorner: Habis SPM Tiket Kebebasan? Buang Buku, Hina Cikgu! Salah Didikan Ibu Bapa Atau Guru?

Syafiqah Jalal 12/03/2021 | 10:03 MYT
Tahniah Mami Piqah ucapkan buat sebahagian pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru sahaja tamat menduduki peperiksaan terbesar yang menentukan hala tuju mereka selepas ini.
Sejak pandemik tahun lalu, semua pelajar SPM melalui pelbagai cabaran dari segi menimba ilmu yang mula berubah iaitu secara alam maya serta terpaksa menduduki peperiksaan sedikit lewat dari waktu yang sepatutnya
Namun apa yang Mami Piqah agak sedih sejak minggu lalu, bila tengok cara pelajar-pelajar ini meraikan diri mereka sempena tamatnya kertas peperiksaan tersebut.
Pelbagai cara yang tidak berakhlak yang dilakukan termasuk menconteng baju mereka dengan perkataan kesat dan menghina guru dengan ‘F*ck Cikgu’ , buang buku sekolah ke sungai dengan rasa bangga dan banyak lagi.
Mami Piqah sedar… tradisi pelajar menconteng baju sekolah ini bukan lah satu perkara yang baru tetapi apa yang menyedihkan setiap tahun ia semakin menjadi-jadi lebih-lebih lagi apabila mereka sanggup menulis dengan kata-kata kesat.
Adakah dengan tamatnya SPM itu bermakna mereka sudah bebas melakukan apa sahaja sehingga bersikap kurang ajar? Ketahui lah adik-adik…sebenarnya jauh lagi perjalanan hidup kamu dan ia baru sahaja permulaan untuk melangkah ke alam dunia sebenar.
Mami Piqah tidak menafikan apabila berlaku perkara sebegini, mula lah…yang cuba menuding jari pada guru yang mengajar serta lebih memalukan adalah ibu bapa kepada pelajar tersebut.
Paling hancur adalah hati ibu bapa mereka yang mungkin tidak menyangka itu balasan yang mereka terima selepas berhempas pulas mencari rezeki untuk memberi pendidikan yang terbaik buat anak-anak. Guru pula, semestinya mereka sudah memberikan pendidikan yang terbaik buat pelajar mereka, tapi apakan daya…
Namun pujian patut diberi juga kepada pelajar yang meraikannya dengan bersujud syukur sebaik sahaja tamat kertas SPM terakhir mereka di dewan peperiksaan. Sejuk perut ibu mengandung!
Mami Piqah rasa mesti ramai setuju, anak-anak adalah cermin kepada ibu bapanya. Baik yang diterima, baiklah kelakuan mereka… begitulah sebaliknya.
Jika tidak mahu perkara ini terus berlaku setiap tahun, Mami Piqah rasa ibu bapa serta guru perlu bersatu untuk memberi didikan atau pendedahan awal mengenai adab menuntut ilmu. Jika anak-anak atau pelajar ini tahu bagaimana hendak menghargai ilmu, tahu menghargai insan yang memberi ilmu, pasti perkara-perkara sebegini tidak berlaku lagi di masa akan datang.
Namun Mami Piqah tidak menuding jari 100 peratus kepada ibu bapa kerana usia 17 tahun adalah peringkat umur yang dikira cukup matang untuk berfikir serta cukup ilmu di dada sebelum mahu melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada masa depan diri mereka.
Apa-apa pun mereka juga manusia biasa yang turut melakukan kesilapan… kita sebagai seorang yang matang ini haruslah berfikiran dan bertindak lebih dewasa. Selain boleh menasihatkan mereka mungkin juga boleh mendoakan agar anak-anak ini sedar kesilapan mereka.
P/S : Mami Piqah dulu rai tamat SPM dengan keluar makan bersama dengan kawan-kawan! Memang seronok rasanya bila habis sekolah hehe
#Anak #SPM #Cikgu #Ibu #Guru #Bapa #Mami Piqah Corner
;