Berita
Mangsa OKU Dipukul Di Pasar Tani Dapat Tajaan Umrah
Rezeki tidak disangka buat keluarga lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental yang dipukul di Pasar Pagi Jalan Padang Astaka, Chukai Kemaman apabila mereka menerima tajaan menunaikan umrah pada 25 Mei depan.
BERITA BRRKAITAN: “Ya Allah Kenapa La Sekejam Ini Diperlakukan…” - Fattah Amin
BERITA BERKAITAN: "Sedih, Marah, Kecewa Semua Ada" - Isteri Lelaki OKU Dibelasah Tampil Bersuara, Sifatkan Perbuatan Itu Kejam
Pengerusi Pertubuhan Idealis Anak Muda, Wan Mahussin Wan Zain berkata, dia mewakili Pengerusi Yayasan Global Mesra yang menggelarkan diri sebagai 'Datuk Seri Sultan Pemurah' atau dikenali sebagai Datuk Seri Salim, berasal dari Pulau Pinang untuk menyampaikan khabar gembira itu ketika menziarah keluarga tersebut di Kuala Ibai, di sini kira-kira jam 3 petang pada Rabu.
"Saya bersyukur kerana berpeluang bertemu dengan keluarga ini semalam bagi menyampaikan hasrat untuk membawa mereka menunaikan umrah dijadualkan pada 25 Mei depan.
"Insya-ALLAH, kita akan bawa semua tujuh ahli keluarga ini untuk menunaikan umrah bersama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.
Dalam pada itu, katanya, usaha untuk membawa keluarga itu menunaikan umrah bertujuan untuk mengembalikan semula semangat dan kekuatan mereka menjalani kehidupan.
"Bayangkan perasaan seorang isteri apabila satu Malaysia tahu suami dia ada sakit mental, namun hari ini dia bangga miliki suami 'istimewa' ini.
"Malah, apa yang berlaku itu terkandung 1001 hikmah tersembunyi apabila seluruh keluarganya berpeluang menunaikan umrah," katanya.
Jelas Wan Mahussin, dianggarkan hampir RM100,000 akan dibelanjakan bagi keseluruhan kos termasuk tiket penerbangan dan pengurusan umrah keluarga tersebut.
Tambahnya, segala persiapan akan dapat diselesaikan sebelum tarikh tersebut dan berharap usaha membawa mangsa OKU diuruskan sebaik mungkin oleh mutawif dan muasasah berpengalaman.
Pada Rabu, syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menghadiahkan pakej umrah kepada mangsa.
Pakej umrah itu diberikan secara percuma kepada mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, isterinya, Faridah Abdul Karim, 44 dan anak lelaki mereka, Ahmad Fakhrie, 19.
Sumber:Sinar Harian