Hiburan
Marsha Menangis Lancar Lagu Bimbang, Sentimental Kisah Selepas Peluk Islam
Penyanyi Marsha Milan Londoh mengejutkan hadirin yang hadir ke majlis pelancaran single terbaharunya, Bimbang, apabila tiba-tiba menangis ketika memberikan ucapan.
Menjelaskan situasi tegang itu, kata Marsha, 34, lagu tersebut banyak menjentik hatinya hingga benar-benar terkesan.
"Lirik lagu Bimbang menceritakan tentang kisah kehidupan wanita bermadu, tetapi saya melihat daripada sudut yang berbeza. Lebih kepada kehidupan saya sebenarnya.
"Biarlah saya pendam perkara ini sendirian. Selepas lagu ini siap dirakam, saya jadi lebih sebak dan terkesan dengan setiap kata-kata dalam liriknya terutama kehidupan saya sebelum dan selepas memeluk Islam," katanya yang ditemui selepas majlis tersebut.
Lagu Bimbang merupakan hasil ciptaan Farouk Roman dan ditulis oleh sahabat rapatnya, Amylea Azizan.
Malah, lagu itu bakal menjadi runut bunyi drama rantaian Nur 2 yang akan bersiaran tidak lama lagi.
Marsha dalam pada itu memberitahu proses penghasilan lagu Bimbang sejak tiga bulan lalu paling mencabar.
"Kos memainkan peranan utama dalam menghasilkan lagu ini dan ia sangat mencabar, tambahan saya perlu bergerak sendiri bersama pengurus.
"Sama seperti pembikinan muzik videonya, saya sendiri terlibat bukan hanya sebagai penyanyi bahkan juga sebagai penerbit. Bukan mudah...," tambahnya yang kembali sebak.
Lagu edaran Seventeen Eleven Music itu boleh dimuat turun menerusi semua platform digital, mulai hari ini, manakala muzik video terbitan Marsha Londoh Entertainment pula boleh ditonton menerusi YouTube.