Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Mas Idayu Umum Nikah Pada Hari Malaysia, Terima Tajaan Anggaran RM7 Juta

Azwa Rahman 21/08/2022 | 05:54 MYT

Penyanyi Mas Idayu mengumumkan tarikh pernikahannya bersama penerbit Muhammad Sufian Che Isa 16 September ini.

Menurut Mas Idayu atau nama sebenarnya Masidayu Mesnun, 50, pemilihan Hari Malaysia sebagai tarikh hari bahagia adalah kerana ia cuti umum yang mudah diingati.
“Sebenarnya bukan saya yang memilih tarikh itu, Sufian yang pilih date tu. Sepatutnya bulan 5 tapi saya rasa terlalu awal. Tarikh 16 September tu semua org cuti dan mudah nak ingat. Sebab saya jenis susah nak ingat tarikh. Ni mudah nak ingat sebab Hari Malaysia. Saya setuju bila Sufian bagi tarikh tu, itu sahaja tiada apa yang istimewa,” ujarnya ketika ditemual.
Majlis pernikahan bakal diadakan di Magica Quill City lebih kurang pukul 9 pagi dan sebelah malam akan diadakan majlis resepsi dengan tema ‘fairy tale’.
Bakal menerima tajaan hampir RM7 juta, Mas Idayu menganggapnya sebagai rezeki setelah 15 tahun tidak hidup berpasangan.
“Saya tak fikirkan sangat harga perkahwinan yang mencecah RM7 juta. Yang saya fikirkan adalah macam mana nak melalui kehidupan bersama setelah sekian lama saya tak lalui. Saya lebih fikirkan semoga dapat jalani kebahagian perkahwinan kedua ni sampai akhir hayat.
“Sekian lama tak berteman, tak percaya perkahwinan tapi kali ni terbuka pintu hati, itu yang saya fikirkan. Kalau tak bahagia, memang mami tak sampai ke sini.
“Kalau nak ikutkan kerja dan usaha selama ni, saya dah berada di tahap yang selesa cuma saya bertema kasih pada semua yang sudi menaja dan beri penghargaan yang besar pada saya,” jelasnya.
Mas Idayu ditemui pada majlis sidang media pengumuman perkahwinan dan pelancaran produk penjagaan kulit Twenty yang diadakan di Magica Hall, Cheras, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Merancang untuk mengambil cuti selama dua minggu selepas majlis perkahwinan untuk berbulan madu di Santorini, Greece, pelantun lagu Robek Hatiku itu sempat menceritakan detik perkenalannya bersama Sufian.
“Sebenarnya dalam hati saya, saya tak sangka sama sekali ia akan jadi seviral ini. Siapa Mas Idayu dan Sufian Isa kalau nak viral. Ini bukan kesilapan tapi dia macam baru setahun dua, terbuka pintu hati saya.
“Sebelum ni yang ramai datang adalah lebih muda dari saya. Yang ni sekali datang tiba-tiba saya suka, jumpa pertama kali bincang pasal Anugerah Juara Lagu lepas tu kita minum kopi. Kali kedua kita jumpa, kita borak lebih dalam, kali ketiga lebih ke arah untuk kenal keluarga.
“Saya tak sangka bila Ramadan saya buka puasa dengan dia, itu yang viral. Rupanya orang ambil tahu pasal Mas Idayu ni,” katanya lagi.
Sekadar info, Mas Idayu dan Sufian sudah saling mengenali sejak program Mentor 3 pada 2008 dan baru menjalin hubungan serius sejak beberapa bulan lalu.
Pada Mei lalu, Mas Idayu sudah 'diikat' Sufian dalam majlis menghantar tanda, di rumah keluarganya di Kota Tinggi, Johor.
Terdahulu, Mas Idayu pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai pada 2006.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun.

#Nikah #Mas Idayu #16 September 2022
;