Filem

Masak Pakai Kasut Tinggi, Sentiasa Bersolek, Dolly Parton Akan Tetap Maintain Walaupun Gempa Bumi

Maliah Surip
08/12/2020
15:10 MYT
Sponsor Banner
Masak Pakai Kasut Tinggi, Sentiasa Bersolek, Dolly Parton Akan Tetap Maintain Walaupun Gempa Bumi
Pesohor seni Hollywood, Dolly Parton diketahui sebagai seorang selebriti wanita yang sentiasa berpenampilan cantik.
Penyanyi, penulis dan pelakon veteran itu malah tetap kelihatan bergaya dan tidak pernah tampil tanpa solekan walaupun sudah berusia 74 tahun.
Sewaktu mempromosikan album sempena sambutan hari Natal, A Holly Dolly Christmas, bintang ini mengaku dirinya tidak akan tampil di hadapan umum tanpa solekan.
"Saya kena selalu bersedia. Memang sejak dulu, saya akan pastikan wajah siap dirias dan rambut didandan cantik," kata Parton dalam wawancaranya bersama majalah Marie Claire.
Parton juga mengatakan jika gempa bumi terjadi di Los Angeles misalnya, beliau akan pastikan tidak ada yang melihat dirinya berlari keluar rumah tanpa solekan pada wajah.
"Walaupun gempa bumi melanda LA, saya tidak akan berlari tanpa solekan. Saya akan pastinya semuanya sentiasa dalam mood sedia (solekan)," tambah Parton.
Bintang yang membuat kemunculan sejak tahun 1967 melalui album Hello, I'm Dolly itu kemudian mengatakan dirinya mahu sentiasa kelihatan cantik bukan untuk memuaskan hati orang lain.
"Saya mahu sentiasa cantik untuk diri sendiri, bukan untuk orang lain. Saya selesa dengan penampilan saya sekarang," akuinya.
Malah Parton mengatakan walaupun beliau mengekalkan warna rambut perangnya, namun dirinya memiliki seperti memiliki 365 rambut palsu, dengan setiap satu ditukar setiap hari selama satu tahun untuk melengkapkan penampilannya.
Penulis buku Songteller ini turut mengatakan beliau memakai kasut tinggi sewaktu memasak di rumah.
"Saya juga sentiasa memakai kasut tinggi, walaupun ketika memasak. Walaupun mungkin ia tidaklah terlalu tinggi seperti digayakan sewaktu membuat show, tapi saya tetap memakai kasut tinggi.
"Saya orang yang rendah jadi perlu pakai kasut tinggi untuk membuka kabinet dapur," ujarnya berjenaka.
Terakhir, anak keempat daripada 12 beradik ini mengaku beliau akan memakai pakaian yang disukainya beberapa kali, namun untuk sesetengah acara penting, Parton akan memastikan kostum yang digayakan mampu dilelong untuk tujuan kebajikan.
"Siapa kata saya tidak memakai pakaian yang sama berulang kali? Saya pakai jika benar benar suka. Tapi untuk kostum istimewa, lepas memakainya, saya pastikan ia berbaloi untuk dilelong dalam mana mana acara kebajikan. Jadi tidak ada yang terbazir," kata bintang yang telah memenangi banyak anugerah ini.
Kredit Foto: Marie Claire
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar