Laman Utama

"Masih Ada Wanita Yang Tak Tahu Nak Kemana Bila Dizalimi Suami" - Rita Sosilawati

Amri Hassan
19/10/2022
04:45 MYT
Sponsor Banner
"Masih Ada Wanita Yang Tak Tahu Nak Kemana Bila Dizalimi Suami" - Rita Sosilawati
Usahawan yang kini dilantik Wanita Ikon Selangor 2022, Datin Rita Sosilawati melihat semakin ramai wanita yang berani tampil ke hadapan apabila berdepan dengan isu keganasan rumah tangga.
Kata Rita, bagaimanapun masih ada segelintir wanita yang tidak tahu cara dan saluran yang tepat untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.
"Wanita masa kini lebih berani dan matang dalam mengendalikan situasi apabila menjadi mangsa kezaliman suami.
"Namun demikian, terdapat juga segelintir yang masih tidak tahu ke mana arah yang hendak dituju apabila berhadapan situasi sebegini.
"Maka dengan itu, program-program leterasi seperti anjuran Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan kerjasama Wanita Ikon Selangor 2022 perlu disebarluaskan agar mereka yang menjadi mangsa tahu akan kewujudan “support system” yang baik serta boleh membantu mereka menyelesaikan masalah," katanya.
Tambah Rita, pelbagai isu dapat dikupas dan diketengahkan hasil daripada forum Literasi Undang-undang Syariah: Menganiaya Isteri Menzalimi Suami Are You Okay? yang diadakan di NIOSH Bangi, Selangor baru-baru ini.
"Isu yang cuba saya ketengahkan ini adalah isu yang telah sekian lama wujud dalam masyarakat dan masih berlaku, malah lebih meruncing pada masa kini. "Tambahan pula pada zaman pendamik Covid-19, kes-kes kepincangan kekeluargaan acap kali menjadi topik utama di media massa. Kes-kes sebegini memberi impak yang besar terhadap kesihatan psiko-sosial.
"Atas dasar itu, saya mengambil inisiatif serta menggunakan platform sebagai Wanita Ikon Selangor 2022, menjalinkan kerja sama dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) untuk menganjurkan program sebegini.
"Ia juga selaras dengan salah satu advokasi yang saya perjuangkan sebagai Wanita Ikon Selangor 2022, iaitu untuk memperkasa kesihatan psiko-sosial terutamanya di kalangan wanita," ujarnya.
Hadir sama pada forum tersebut ialah Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, Datuk Hazizah Kassim dan Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa sebagai panel jemputan forum.
Usai forum, penganjur juga menyediakan sesi klinik guaman secara percuma dan terbuka kepada umum, bagi mana-mana individu yang mempunyai permasalahan yang berkaitan dengan perihal perundangan syariah keluarga.
"Saya sangat bersyukur dan teruja apabila program yang dianjurkan ini mendapat sambutan hangat, terutama dari pihak NGO serta orang perseorangan.
"Kami juga menyediakan klinik guaman syarie pada sesi tersebut dan dikendalikan oleh para peguam syarie profesional. Ingin saya nyatakan di sini, terdapat juga bantuan guaman syarie disediakan secara percuma bagi mereka yang berkelayakan.
"Antara objektif penganjuran program tersebut ialah meningkatkan kefahaman masyarakat tentang prosedur, hak individu di dalam peruntukan undang-undang keluarga.
"Insyallah program yang baik sebegini akan diteruskan pada masa akan datang," katanya.
Selain itu, ia bertujuan menyebarkan ilmu-ilmu kekeluargaan kepada masyarakat dalam sebagai bekal untuk membentuk keluarga bahagia dan membuka ruang bagi mana-mana individu yang memerlukan nasihat guaman untuk mendapatkan nasihat guaman secara percuma.
Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) antara institusi yang berfungsi memberikan nasihat undang-undang kepada masyarakat Islam selain menyediakan khidmat bantuan guaman untuk mewakili pihak membuat tuntutan atau menjawab tuntutan di mahkamah syariah dengan kos minimum yang dibiayai oleh agensi tertentu atau pihak kerajaan.
Terdapat 2 kategori bantuan dan kelayakan guaman syarie BAGUS yang ditawarkan iaitu:
1. Golongan B40 yang bergaji dan berpendapatan isi rumah sebanyak RM4,850 sebulan dan ke bawah (bawah RM58,200 setahun)
2. Golongan M40 yang memperoleh gaji dan pendapatan isi rumah antara RM4,851 sebulan sehingga RM10,970 sebulan (antara RM58,212 hingga RM131,640 setahun)
Anda cuma perlu buat permohonan untuk khidmat di atas melalui link ini.
Untuk maklumat lanjut program Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) , boleh layari www.baguspgsm.com.my.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar