Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Masih Berbisa! Permaisuri Selangor Cemar Duli Baca Berita Sempena Ulangtahun KE-75 RTM

Fiza Kamarudin 01/04/2021 | 23:20 MYT
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman mencemar duli membuat kemunculan istimewa di slot Berita Perdana Khas pukul 8 malam tadi di saluran TV1, RTM sempena sambutan ulang tahun Radio Televisyen Malaysia ke-75.
Baginda tampil kira-kira 15 minit dalam slot berita terbabit menyampaikan berita berkaitan isu semasa negara.
Penampilan khas Tengku Permaisuri Selangor itu mengejutkan penonton saluran TV1 yang rata-rata memuji baginda kerana masih berbakat dalam menyampaikan berita.
Kali terakhir baginda dilihat tampil sebagai pembaca berita adalah pada 31 Ogos 2016 lalu.
Sementara itu penerbit Berita Perdana Khas, Khairul Azli Rahim, teruja dan berbesar hati apabila Tengku Permaisuri Selangor berkenan untuk menyampaikan berita yang disunting olehnya.
“Ini kemunculan kali pertama baginda di kaca tv selepas ditabalkan menjadikan Permaisuri Selangor selepas lima tahun lalu.
“Saya mewakili pihak produksi dan krew penerbitan berita RTM mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian baginda meluangkan masa untuk menyampaikan berita kami hari ini,” katanya menerusi sebuah kenyataan.
Tatarias wajah dan busana Tengku Permaisuri Norashikin disediakan oleh Unit Imej dan Solek RTM.
Tengku Permaisuri Norashikin melangsungkan majlis pernikahan bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 31 Ogos 2016 di Masjid Diraja Istana Alam Shah Klang.
Selain Tengku Permaisuri Norashikin, antara yang turut ditampilkan dalam Berita Perdana Khas malam tadi ialah Datin Hamidah Hamzah dan Zaini Yuhyi.
#Tengku Permaisuri Selangor #Mencemar Duli Baca Berita #Ulangtahun ke-75 RTM
;