Hiburan
Mastura Mohd Yazid Titip Pesanan Untuk Bakal Suami Mira Filzah
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid mengimbas kembali pesanan arwah suaminya, Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad kepada Wan Emir Astar yang juga merupakan bakal suami kepada pelakon dan pengacara Mira Filzah.
Menurut Mastura, arwah suaminya adalah individu yang menginginkan Emir menamatkan zaman bujang secepat mungkin malah berhasrat untuk mereka bentuk pelamin yang akan digunakan pada masa majlis anaknya itu.
"Emir, ingatlah pesanan arwah papa. Selama hampir sebulan sebelum arwah papa pulang ke rahmatullah, arwah papa sering mengingatkan ibu betapa arwah papa ingin Emir mendirikan rumah tangga secepat mungkin kerana katanya kebahgiaan yang sebenar hanya akan tercapai setelah berkahwin.
"Arwah papa kata Emir tak boleh ‘single’ lama-lama katanya. Dan arwah papa nak buat pelamin Emir dengan reka bentuknya sendiri.
"Seperti juga yang arwah papa lukiskan pelamin untuk perkahwinan Imar. Ibu ingat segala bait-bait perbualan arwah papa dan ibu itu.
"Dan memori itu masih jelas di fikiran ibu . Kini, saat itu dah sampai. Ibu akan melaksanakan segala permintaan arwah papa untuk Emir. Moga diizin dan dipermudahkan Allah SWT," tulisnya di laman Facebook (FB).
Dalam pada itu, Mastura menyatakan arwah suaminya menginginkan Emir menjadi seorang ketua keluarga yang baik dan bertanggungjawab.
"Antara pesanan arwah papa untuk Emir, jadilah seorang suami yang baik dan bertanggungjawab.
"Isteri adalah amanah Allah SWT ke atas diri Emir. Perlu disayangi dan dilindungi dengan jiwa dan raga.
"Keluarga keutamaan setiap suami. Berbahagialah dan berbahagialah hingga ke Jannah.
"Betapa saya berharap dia ada di sini untuk meraikan perkahwinan Emir. Percaya dengan ibu, kasih dan semangat arwah papa ada di sini bersama kita. Ia bertahan seumur hidup kita," tulisnya lagi.
Untuk makluman, Wan Emir mula berkenalan dengan Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman pada Oktober tahun lalu.