Laman Utama
Masya Masyitah Rakam Single Dalam Bahasa Mandarin – “Akhirnya Impian Jadi Kenyataan…”
Penyanyi Masya Masyitah menarik nafas lega kerana akhirnya impian untuk keluar dengan single solo berbahasa Mandarin menjadi kenyataan.
Single solo pertama ciptaan Kai Kai dan diterbitkan Peng Chu yang diberi judul Jiu Meng Xin Su itu telah pun dilancarkan pada 25 Jun lalu.
Masya berkata, sebelum ini dia pernah merakamkan lagu Mandarin pertama berjudul Zuo Jian duet bersama Jeryl Lee.
"Ikut kiraan ini lagu Mandarin kedua yang saya rakamkan. Tapi kalau single secara solo lagu terbaru ini jadi yang pertama.
"Lagu ini mengisahkan percintaan sepasang kekasih yang sanggup berkorban apa saja demi kebahagiaan masing masing.
“Namun malang menimpa hidup mereka apabila teman lelaki terpaksa menyembunyikan penyakit dialaminya hingga berdiam diri.
"Teman wanitanya tertanya tanya dan mereka berpisah dengan pengakhiran menyayat hati. Bagaimanapun ia bukanlah kisah saya.
Ia mungkin hanya imaginasi atau pengalaman yang diketahui komposer lagu ini," katanya
"Apabila boleh berbahasa Mandarin dan menyanyikan lagu dalam bahasa itu, secara automatik teringin nak ada lagu solo sendiri. Akhirnya ia jadi kenyataan.
“Saya gembira kerana diberi peluang ini dan berharap akan terus diberi peluang untuk menyanyikan dalam bahasa Mandari.
“Rasa macam tak percaya lagu ini akhirnya dilancarkan juga secara rasmi. Video muzik lagu ini pun sudah dibuat pada Mac lalu di sekitar Bukit Jalil," katanya.
Sebelum ini, Masya yang juga artis naungan Rocketfuel Entertainment pernah muncul dengan empat single iaitu Teman Bintang, Mawar Terbiar, Halimunan dan Hapus.
Selain menyanyi, Masya kini juga menambah sumber pendapatan dengan menjual aneka biskut, Delici by Masya.