Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Maszlee Malik Terima Penghargaan Daripada Produksi Filem 'Raatchasi'

Kamaruddin Razal 06/09/2019 | 14:15 MYT
Sebuah produksi filem di India menzahirkan penghargaan terhadap Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di atas sokongan yang diberikan kepada sebuah filem terbitan mereka baru-baru ini, lapor Astro Awani
Syarikat berkenaan yang menerbitkan filem Tamil berjudul "Raatchasi" itu turut menyertakan lampiran surat dua halaman yang ditujukan khas buat Dr Maszlee yang sebelum ini memuji jalan cerita filem tersebut dalam usaha membangunkan sistem pendidikan negara.
Tidak hanya mendapat penghargaan daripada pasukan produksi, malah Maszlee turut menerima pujian istimewa daripada pelakon utama filem itu, Jyotika.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Jyotika melalui akaun Twitter suaminya, aktor Suriya Sivakumar menitipkan tanda terima kasih kepada Maszlee atas sokongan yang diberikan dan penghargaan yang tidak ternilai kepada naskhah "Raatchasi".
“Saya sangat tersentuh dengan penghargaan yang ditunjukkan sekali gus menjadikan mesej dan teladan dalam Raatchasi dibawa ke peringkat global,” katanya.
Terdahulu Maszlee di dalam Instagram miliknya berkata "Raatchasi" merupakan sebuah filem wajib tonton yang luar biasa dengan watak yang sempurna.
Menurutnya, setiap babak sentiasa memberi refleksi kepada keadaan di Malaysia.

Dua bulan lepas filem ini keluar. Semalam saya menontonnya bersama pegawai-pegawai. Saya akan tulis artikel mengulas filem ini. Yang pasti, filem ini memang wajib tonton. Jalan ceritanya luar biasa. Wataknya sempurna. Berbeza rasanya menonton sebagai Menteri Pendidikan. Setiap babak sentiasa saya refleksikan dengan keadaan di negara kita. Geetha Rani adalah watak pengetua adiwira yang sangat hebat. Beliau membuktikan kepada kita bahawa perubahan yang besar itu bukanlah mustahil. Banyak sekali dasar dan perubahan yang kita sedang gubal untuk dilaksanakan telah berjaya digambarkan dalam filem ini. Misalnya inisiatif PSP (Program Sarapan Percuma). Filem ini menterjemahkan aspirasi saya yang lebih dari sekadar makanan, tetapi saya ingin melihat guru-guru boleh duduk makan sekali dengan anak-anak kita. Begitu juga dengan isu keciciran murid. Geetha telah berjaya melibatkan semua pihak untuk atasi isu keciciran murid, termasuklah pihak polis. Ini yang sedang kita usahakan. Kita nak pastikan ‘enforcement’ itu berlaku di semua penjuru agar tak ada lagi kanak-kanak yang tercicir. Bukan itu sahaja. Geetha juga berjumpa dengan semua ibu bapa pelajar. Tubuhkan semacam Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) untuk pastikan ibu bapa ini terlibat aktif dengan pendidikan anak-anak mereka. Menjadikan pendidikan adalah visi kolektif semua pihak adalah antara hasrat terbesar saya. Kerana saya yakin, pendidikan harus berupaya menjadi objektif komuniti setempat, malah pendidikanlah yang akan meningkatkan taraf hidup mereka. Semua pendidik, ibu bapa, murid-murid dan sesiapa sahaja, saya sarankan untuk tonton filem ini. Segera!

A post shared by MM (@maszlee) on

“Banyak sekali dasar dan perubahan yang kita sedang gubal untuk dilaksanakan telah berjaya digambarkan dalam filem ini. Misalnya inisiatif PSP (Program Sarapan Percuma).
"Filem ini menterjemahkan aspirasi saya yang lebih dari sekadar makanan, tetapi saya ingin melihat guru-guru boleh duduk makan sekali dengan anak-anak kita,” katanya.
Maszlee turut menyeru semua pendidik, ibu bapa, murid-murid dan sesiapa sahaja untuk segera menonton filem itu.
Filem "Raatchasi" arahan S Gowthamraj itu memaparkan Jyotika memainkan peranan utama dalam mengharungi liku dan ranjau sebagai seorang guru besar yang tegas ingin memperbaik keadaan sekolah daif walau berdepan pelbagai cabaran.
Filem Raatchasi kini bersiaran di Astro Box Office Thangathirai HD saluran 241.
Sumber: Astro Awani
#Dr. Maszlee Malik #Raatchasi
;