Hiburan

"Mata Mak Semakin Kabur, Kerap Menangis Selepas Pemergian Abam" - Ali Puteh

Amri Hassan
30/04/2020
10:00 MYT
Sponsor Banner
"Mata Mak Semakin Kabur, Kerap Menangis Selepas Pemergian Abam" - Ali Puteh
Ramadan tahun ini berbeza bagi keluarga Ali Puteh selepas pemergian Allahyarham Abam Bocey sekitar dua bulan lalu.
Berkongsi mengenai keadaan kesihatan ibunya, Sabaria Arshad, kata Ali, penglihatan ibunya semakin kabur dan kakinya membengkak.
"Sebelum ini, emak ada masalah kaki sehingga terpaksa dibedah. Sekarang, penyakit lamanya datang kembali. Kaki menjadi bengkak sehingga terpaksa duduk di kerusi roda setiap masa.
"Penglihatan emak juga semakin kabur akibat kerosakan kornea. Mungkin ini berpunca apabila dia kerap menangis selepas pemergian arwah.
"Sebelum ini, arwah kerap membawanya ke hospital untuk rawatan mata. Insya-Allah selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, saya akan membawa emak berjumpa doktor," katanya kepada BH Online.
Selain itu, Sabariah juga kerap termenung setiap kali sebelum tiba waktu iftar.
"Bukan emak sahaja, kami sekeluarga rindu kehadiran arwah terutama pada bulan Ramadan.
"Setiap kali Ramadan tiba, kami adik-beradik berkumpul di rumah arwah untuk berbuka. Kebetulan emak tinggal bersama abang. Apabila berkumpul, memang terasa kemeriahannya.
"Namun, semua tinggal kenangan. Tahun ini, memang terasa janggal kerana kurang seorang dalam anggota keluarga kami. Apabila tiba waktu berbuka puasa, bagaikan terbayang arwah ada bersama.
"Melihat emak yang sentiasa termenung, lagilah sedih. Apa yang boleh saya katakan kepada emak hanyalah meminta dia mendoakan kesejahteraan arwah dan reda dengan apa yang berlaku," tambahnya.
Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Gombak pada 10 Februari lalu akibat demam panas.
Sumber: BH Online
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar