Berita
Mayat 4 Beranak Tragedi Kepala Air Sungai Kenjur Sudah Ditemui
Mayat 4 beranak yang maut dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh,Tapah petang semalam berjaya ditemui pasukan mencari dan penyelamat (SAR).
Jasad Aszura Bani (ibu), 37, ditemukan pada kedudukan kira-kira 600 meter dari lokasi perkelahan oleh penduduk kampung sekitar jam 4.30 petang.
Manakala jasad anak-anak, Hafiy Muhayat Azam, berusia 4 tahun ditemukan sekitar jam 9.50 malam semalam dan Hanum Marissa Azam, 4, dan Hanna Mikayla Azam, 7 ditemui pagi ini.
Memetik laporan daripada Berita Harian, perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, dengan kedua-dua mayat yang ditemui pagi ini kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Berita Trending: Burj Azizi Cabar Status Merdeka 118 Sebagai Bangunan Kedua Tertinggi…
Dalam kejadian petang semalam, enam sekeluarga bersama seorang pembantu rumah terperangkap dalam kepala air sewaktu sedang berkelah di Sungai Kenjur Kampung Poh, Bidor.
Operasi SAR hari ini diteruskan semula pada pukul 8 pagi selepas dihentikan sementara jam 7.30 malam semalam.
Ia membabitkan 120 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi termasuk Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pasukan menyelamat di air (PPDA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan unit anjing pengesan K9 dengan radius pencarian sejauh tiga kilometer dari lokasi perkelahan mangsa.
Sumber: Berita Harian