Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Mayat Bayi 9 Bulan Membusuk Ditemui Di Kawasan Sawah

Azwa Rahman 23/11/2021 | 10:23 MYT
Mayat bayi perempuan ditemui dalam keadaan membengkak dan membusuk dipercayai dibuang di sebuah kawasan sawah berdekatan lorong Taman Serai Muda ke Kampung Padri, Bagan Serai Perak pada Isnin.
Keadaan bayi tidak berbaju dianggarkan cukup sembilan bulan dalam kandungan itu disedari seorang lelaki yang juga pemilik tanah sekitar jam 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang dokumen atau kain balutan berkaitan kes itu.
"Status hidup atau mati semasa dilahirkan tidak dapat dipastikan kerana organ dalaman mayat bayi berkenaan telah hancur.
"Setakat ini punca kematian bayi tidak dapat dipastikan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, kali terakhir pemilik tanah melalui kawasan itu pada Ahad sekitar jam 4.30 petang untuk menjalankan kerja membaja, tetapi masih belum terlihat mayat bayi tersebut.
"Mayat bayi telah di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk tujuan bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan dan membuang mayat," katanya.
Sumber: Sinar Harian
#Jenayah #Bagai Serai #Mayat bayi 9 bulan
;