Laman Utama
Mega Spontan: Didakwa Tanya Soalan Keterlaluan, Amir Raja Lawak Dimarahi Artis – “Harap Faham Tu Menang Tugas Saya…”
Pelawak Amir Raja Lawak atau turut dikenali sebagai Amirreka mendedahkan dia pernah dimarahi atau ditegur oleh seorang selebriti gara-gara soalannya di dalam program Super Spontan yang dikendalikannya sebelum ini.
Kata Amir, artis yang menyertai program berkenaan telah terasa hati akan soalan yang diajukan sewaktu ia berlangsung.
“Saya pernah ditegur oleh seorang artis yang menyertai program Super Spontan kerana tidak selesa dengan soalan yang saya ajukan ketika itu.
“Sebaik sahaja selesai program itu, dia menghantar mesej ringkas kepada saya tentang rasa kurang senangnya terhadap soalan saya.
“Saya terima sahaja kerana memang itu tugas saya. Saya juga faham akan perasannya dan selepas itu saya mungkin cuba hati-hati supaya soalan yang diajukan tidak menyinggung mana-mana pihak,” katanya kepada Astro Gempak.
Amir ditemui ketika majlis pelancaran program Mega Spontan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Dalam program hiburan mainan yang mengangkat program Super Spontan ke satu format yang lebih tinggi itu, Amir sekali lagi dipilih sebagai pengacara bersama yang akan bertanyakan soalan ‘aneh’ terhadap peserta untuk memeriahkan suasana.
Kata Amir sebagai orang yang mengendalikan program seumpama itu lebih 10 tahun, dia berharap selebriti yang menyertai sudah memahami konsep dan tugasnya sebagai pengacara bersama.
“Soalan biasanya saya hasilkan sendiri dan kadang-kadang juga dibantu oleh penulis program itu.
“Saya harap mereka faham kerana bertanya soalan begitu memang tugas saya. Nampak mudah tapi bukan senang untuk saya menghasilkan soalan-soalan yang berbentuk hiburan tapi dalam masa yang sama ‘dibenci’ ramai pihak,” ujarnya.
Selain Amir, pengacara utama yang mengendalikan program ini adalah Sherry Alhadad.
Mega Spontan akan menyaksikan kemunculan pelawak-pelawak ‘otai‘ iaitu Zizan Razak, Sabri Yunus dan Douglas Lim serta pelakon versatil Kamal Adli yang akan tampil sebagai mentor. Sementara Datuk Afdlin Shauki turut kembali sebagai Game Master.
Seramai 20 pemain akan dibahagikan kepada empat buah kumpulan. Antara selebriti yang menyertai rancangan ini termasuk Roy Azman, Datuk Jalaluddin Hassan, Mark Adam, Atu Zero, Joey, Adlin Aman Ramli, Ramona Zam Zam dan Aya Amiruddin.
Wajah-wajah baharu yang akan muncul buat pertama kali dalam hiburan komedi menerusi rancangan ini pula seperti Naim Daniel, Farahdhiya, Noreen Iman, Fadhli Masoot serta penyandang gelaran ratu cantik, Sanjna Suri.
Mega Spontan akan berlangsung selama lapan minggu dan bersiaran secara langsung dari Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia, Serdang mulai 19 Mei, setiap Jumaat, jam 9 malam di Astro Warna (saluran 107).