Hiburan
Meganya! RM10 Juta Nilai Konsert Jelajah & Filem Dokumentari Siti
Penganjur konsert Dato Sri Siti Nurhaliza On Tour, Shirazdeen Karim mendedahkan nilai keseluruhan konsert jelajah dan filem dokumentari Siti mencecah nilai RM10 juta.
Sekaligus, menjadikan Dato Sri Siti Nurhaliza On Tour merupakan konsert termahal Datuk Seri Siti Nurhaliza sepanjang kerjayanya!
Angka itu merangkumi konsert di empat buah lokasi terpilih iaitu Indonesia, Singapura, Kuala Lumpur dan London berserta sebuah filem dokumentari khas They Call Me Siti.
"Perancangan untuk konsert ini bermula sejak Mei lalu dan kami mengambil template konsert artis antarabangsa seperti Michael Jackson.
"Siti akan melalui program yang merangkumi kecergasa, diet, latihan vokal dan rehearsal muzik.
"Malah, Siti akan dilatih oleh seorang guru vokal dari New York menjelang konsert pertamanya nanti di Indonesia.
"Selain itu, kos RM10 juta turut merangkumi tenaga kerja teknikal yang dipilih berdasarkan kredibiliti dan kemahiran terbaik.
"Begitu juga filem dokumentari They Call Me Siti yang sudah memulakan penggambaran dan akan ditayangkan pada suku ketiga tahun hadapan," kata Shiraz.
Bagaimanapun, pihaknya masih terbuka untuk menerima tajaan daripada mana-mana pihak.
Konsert Dato Sri Siti Nurhaliza On Tour ini bakal bermula pada 21 Februari 2019 di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia dan kemudian ke lokasi seterusnya di Singapore Expo, Singapura pada 21 Mac 2019.
Manakala peminat di Malaysia boleh menyaksikan konsert itu di Arena Axiata, Kuala Lumpur pada 16 Mac 2019.
Konsert itu juga akan menampilkan beberapa segmen iaitu etnik/tradisional, balada, carta unggul dan unplugged di mana semua muzik dihasilkan dan diaturkan semula oleh pemuzik Aubrey Suwito bersama band All-Star.
Selain itu, penyanyi Indonesia terkenal iaitu Tulus menjadi artis jemputan yang bakal membawakan lagu-lagu hits dan berkemungkinan penonton juga akan menyaksikan persembahan lagu duet bersama Siti sebelum lagu itu dilancarkan.
Tiket berharga RM105, RM155, RM255, RM355, RM495 dan RM1295 (meet & greet) boleh didapati menerusi www.mytickets.asia bermula 26 Disember depan.