Melly Goeslaw Rancang Gimik Istimewa, Mahu Penonton ‘All Out’ Dengan Tema ‘Prom Nite’ - “Tak Pernah Direalisasikan Di Mana-Mana Konsert...”
Gimik Istimewa Buat Peminat
Menurut Melly, 52, dia merahsiakan gimik yang bakal dilakukannya demi mencetuskan keterujaan buat penonton yang hadir ke Axiata Arena Bukit Jalil dengan tema Prom Nite.
“Saya dan pasukan produksi konsert ini sedang merancang untuk melakukan satu gimik istimewa yang tidak pernah direalisasikan di mana-mana konsert sebelum ini. Bagaimanapun saya tak mahu kongsikan mengenainya lebih lanjut sebab ia merupakan elemen kejutan.
“Sebenarnya saya juga teruja untuk melakukan konsert di sini buat siri ketiga ini kerana setiap kalinya mempunyai konsep. Saya tak sangka peminat di sini sangat menyukai sesebuah konsert yang mempunyai konsep tertentu.
'All Out' Dengan Tema 70-an
Kongsi Melly yang hits dengan lagu Ku Bahagia itu, dia mahu semua yang hadir puas dan ‘all out’ dengan tema pilihannya iaitu 70-an atau Vintage.
“Untuk kali ini tentulah saya pun mahu peminat hadir ‘all out’ dengan busana kreatif masing-masing untuk diperagakan sambil berhibur dengan lagu-lagu saya.
“Di akhir konsert nanti, kita juga akan memilih penonton bertuah yang akan menyandang gelaran Prom King dan Prom Queen pada malam tersebut, pastinya ia sesuatu yang menarik dan bakal meninggalkan kenangan terindah buat semua penonton,”katanya.
“Selain itu, saya juga akan membawakan artis ternama Indonesia untuk menjayakan konsert ini. Cuma nama mereka belum dapat dikongsikan lagi.
“Saya harap peminat juga dapat memberikan cadangan beberapa nama penyanyi tanah air yang sesuai untuk bergandingan dengan saya di konsert ini,” ujarnya lagi.