Laman Utama
Menang 3 Anugerah Di Grammy Awards, Piala Olivia Rodrigo Jatuh & Patah
Insiden tidak terduga menimpa penyanyi solo yang mengungguli Grammy Awards, Olivia Rodrigo saat berdepan media massa usai menang dalam anugerah berprestij itu semalam.
Pelantun Drivers License itu secara tak sengaja telah menjatuhkan salah satu daripada tiga piala atau trofi kemenangannya sewaktu ingin memberi pose di hadapan jurugambar.
Tidak hanya jatuh, trofi berbentuk gramofon bersalut emas itu juga patah di tempat kejadian.
Wajah terkejut Rodrigo yang baru berusia 19 tahun melihat trofi kemenangannya terlepas dari tangan telah disaksi dan dirakamkan oleh media massa yang berada di lokasi.
Namun, insiden tersebut pantas diselamat apabila seorang pembantu acara mengambil trofi yang jatuh, membetulkannya dan memberikan kepada Rodrigo untuk meneruskan sesi pemotretan, lapor Variety.
Untuk rekod, Adele juga pernah secara tak sengaja menjatuhkan trofi kemenangannya untuk Album of The Year dalam penganjuran anugerah sama pada tahun 2017 dan trofi Taylor Swift juga pernah jatuh serta patah sewaktu dia memenangi empat anugerah dalam Grammy Awards kali ke 52 pada tahun 2010.
Terdahulu penyanyi tersebut menepati ramalan akan menang dan membawa pulang beberapa anugerah utama dalam Grammy.
Rodrigo dinobatkan sebagai Best New Artiste dan membawa pulang dua lagi pengiktirafan tertinggi iaitu Best Pop Solo Performance lewat single hit berjudul Drivers License dan album debutnya bertajuk Sour juga berhasil meraih Best Pop Vocal Album.
Foto: LA Times, New York Daily Gazette