Laman Utama
Mengaku Bersalah Tembak Ibu, Rancang Bunuh PM Kanada, Pelakon Riverdale Dipenjara Seumur Hidup
Mengaku bersalah membunuh ibunya sendiri pada 2020, pelakon popular asal Kanada, Ryan Grantham dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Agung British Columbia Vancouver.
Menerusi laporan BBC, difahamkan Ryan mengaku bersalah atas kesalahan pembunuhan tahap kedua selepas pada awalnya didakwa melakukan pembunuhan tahap pertama.
Pendakwa raya berkata, Ryan juga pada masa sama turut merancang untuk membunuh Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.
Ryan mengaku membunuh ibunya dengan menembang belakang badan wanita tersebut ketika sedang bermain piano di rumah mereka di utara Vancouver.
Menerusi video yang dirakam menerusi kamera Go-pro miliknya, Ryan mengaku membunuh mangsa sambil merakam mayat mangsa.
“Saya menembaknya di belakang kepala. Selepas itu dia pasti tahu itu saya,” ujar Ryan dalam video yang dirakamnya itu.
Selepas membunuh ibunya, Ryan difahamkan menenangkan diri dengan meminum secawan bir dan menghisap ganja.
Ryan kemudian mengambil tiga pucuk pistol, beberapa butir peluru dan 12 koktail Molotov buatan sendiri, bekalan perkhemahan sebelum memandu ke arah kediaman Rideau Cottage milik Trudeau.
Namun, ketika memandu kira-kira 200 kilometer ke arah timur untuk menuju ke bandar Hope, Ryan berpatah balik dan menuju ke balai polis Vancouver lalu menyerah diri.
Ryan memberitahu salah seorang pegawai polis yang dia telah membunuh ibunya sendiri.
Dalam masa sama, mahkamah diberitahu yang Ryan turut merancang untuk melakukan tindakan keganasan besar-besaran di Jambatan Lions Gate Vancouver atau di Universiti Simon Fraser, tempat dia belajar.
Difahamkan, dia bagaimanapun tidak meneruskan hasratnya dan menyerah diri di balai polis.
Ryan juga dikatakan telah mengambil bahagian dalam program kesihatan mental sejak penahanannya.
Ketika perbicaraan, peguam Ryan berhujah yang anak guamnya bergelut dengan kebimbangan dan kemurungan klinikal sehingga menyatakan keinginan untuk membunuh diri.
Selain itu, Ryan turut mempunyai rasa untuk membahayakan nyawa orang lain selama berbulan-bulan sebelum dia membunuh ibunya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atasnya, selain dia tidak layak untuk mendapat parol selama 14 tahun pertama.
Sumber: BBC
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!