Laman Utama
Mengaku Sakit, Caprice: "Saya Jadi Gila & Baran Tak Boleh Bawa Bincang, I'm Sorry"
Influencer dan rapper Caprice terus menjadi perhatian selepas mendedahkan dirinya 'berselisih faham' dengan Ustaz Ebit Lew berkenaan misi kemanusiaan dan kehadiran mereka di bumi bergolak, Gaza, Palestin.
Menerusi video kemas kini dalam Insta Story miliknya beberapa jam lalu, Caprice yang kini berada di Mesir mendedahkan dirinya sudah masuk tiga minggu mengalami masalah gangguan tidur.
"Sudah masuk tiga minggu saya makan ubat tidur tapi masih tak boleh tidur. Ada yang kata ini mungkin ada masalah dengan penyakit depresi saya. Tapi saya fikir ini bukan depresi, tapi adalah jihad saya. Apabila ada yang mencabar jihad saya terhadap Gaza dan Palestin saya memang become crazy. Seseiapa yang kenal saya tahu saya macam mana bila sentuh mengenai Gaza dan Palestin.
"I become crazy dan baran yang memang tak boleh bawa bincang. I'm so sorry," luahnya dalam video tersebut.
Pemilik nama sebenar Ariz Ramli ini kemudian mengaku sudah lama mengalami masalah kesihatan mental dan perlu mengambil ubat untuk meredakan fikirannya. Malah, Caprice, 32, juga menunjukkan jenis ubat yang perlu dimakan untuk mengawal masalah kesihatan mentalnya.
Sambil menunjukkan jenis ubat yang perlu dimakan iaitu Rivotril, Caprice bagaimanapun mengatakan tidak suka mengambil pil tersebut kerana akan membuatkan dirinya tidak berfungsi pada keesokkan hari.
"Saya telah lama mengalami penyakit ini. Saya perlu ambil Rivotril ini untuk membuat fikiran saya tidak berfikir terlalu banyak, tapi saya tak suka ambil kerana pada keesokan hari saya akan menjadi numb (tidak berfungsi)," katanya.
Tanpa menjelaskan penyakit yang sedang dihidapinya kini, Caprice mengaku selepas satu bulan kemungkinan besar dirinya tidak dapat memasuki Gaza seperti yang diimpikan.
"Saya memang tengah sakit, selepas satu bulan hadap semua seorang, kemungkinan besar tak akan masuk Gaza sebab ada tangan yang tak mahu saya masuk," katanya.
Terdahulu Caprice mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan tegurannya kepada Ustaz Ebit Lew selepas menerima rungutan daripada penduduk Gaza tentang cara pendakwah berkenaan menghulurkan bantuan.
Dia yang kini dalam Misi Kemanusiaan Untuk Palestin mendakwa kecewa dengan pendakwah terkenal itu yang menggunakan gambar kanak-kanak di Gaza sebagai bahan kandungan di media sosial.
Dalam masa sama, Caprice juga mendedahkan selepas cuba menghubungi dan tidak menerima respon, Ebit telah menyekat akaun Instagram miliknya.
Instagram: @capriceofficial