Laman Utama
Menteri Agama Ziarah Ibnor Riza & Serah Sumbangan MAIWP RM5,000
Penderitaan penyanyi popular era 80-an, Ibnor Riza, 62, yang menghidap penyakit kanser limfoma tahap empat mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Mohd Na'im berkata, beliau berkesempatan menziarahi penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu dan turut menyampaikan sumbangan.
“Hari ini saya turun berziarah ke rumah beliau (Ibnor), bertemu mata jua dan bertanya khabar kesihatan beliau.
“Saya dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Zabidi Nasan telah menyampaikan sumbangan Yayasan Taqwa MAIWP sebanyak RM5,000 untuk meringankan beban Ibnor,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan penyanyi itu diramal hanya mempunyai enam bulan untuk hidup selepas disahkan menghidap kanser pada Februari lalu, namun tetap tidak putus semangat meneruskan ikhtiar melawan penyakit tersebut.
Difahamkan, Ibnor memerlukan kira-kira RM30,000 untuk dua sesi kemoterapi di sebuah hospital swasta, jika ia tidak berjaya, bapa kepada dua cahaya mata itu perlu menjalani tiga lagi rawatan kemoterapi dengan anggaran kos sebanyak RM200,000.
Sementara itu, Mohd Na’im memaklumkan, beliau turut mendengar lagu-lagu nyanyian Ibnor yang disifatkan amat puitis.
Tambahnya, Mimpi Yang Tak Sudah dan Berdiri Seorang Perindu sentiasa menjadi halwa telinga dan mendapat tempat di hati pendengar.
“Marilah bersama-sama kita berdoa agar saudara Ibnor diberikan kesembuhan dan kesihatan,” ujar beliau.