Laman Utama
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub Meninggal Dunia
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dimasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sejak Jumaat lalu disahkan meninggal dunia pada jam 9.23 malam, Ahad.
Perkara itu disahkan menerusi kenyataan anaknya, Fatihah Salahuddin, menerusi akaun media sosialnya.
"Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada 9.23 malam, 23 Julai 2023," tulisnya.
Salahuddin, 62, sebelum ini dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira jam 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Allahyarham bagaimanapun telah selamat menjalani pembedahan pada pagi Sabtu dan berada dalam keadaan stabil di HSB.
Bagaimanapun Allahyarham ditidurkan dan dipantau rapi di ICU.
Beliau meninggalkan enam cahaya mata hasil perkahwinan dengan isterinya, Datin Seri Fatimah Taha.
Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) sejak tahun 2015.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 lalu, Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Negeri Johor bagi kawasan Simpang Jeram di Muar.
Sebelum dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.
Sumber: Astro Awani