Hiburan

“Mereka Datang Bawa Mangkuk Sedangkan Waktu Tu Kami Masak Cukup-Cukup Untuk Kami” - Noh Salleh Kongsi Momen Tak Boleh Lupa Di Syria

Azwa Rahman
20/06/2020
07:52 MYT
Sponsor Banner
“Mereka Datang Bawa Mangkuk Sedangkan Waktu Tu Kami Masak Cukup-Cukup Untuk Kami” - Noh Salleh Kongsi Momen Tak Boleh Lupa Di Syria
Vokalis kumpulan Hujan Noh Salleh berkongsi pengalaman peribadinya melihat kanak-kanak dan ibu tua yang kelaparan ketika berada di Syria ketika mengikuti sebuah misi bantuan.
Menerusi laman sosial Facebook, Noh menceritakan bagaimana mereka membawa mangkuk kosong untuk meminta sedikit makanan walaupun pada waktu itu sudah menginjak ke tengah malam.
“Jujurnya masa sediakan sup ini, ia adalah untuk kami 10 orang. Semua belum makan dari siang dan memang lapar ya amat.
“Nak mudah, masak sup. Campak sahaja ayam, kentang, tomato semua, letak garam, siap. Waktu memasak, anak-anak ini duduk bertanya itu apa, ini apa, kami jawab sahajalah. Dalam hati, malam dah lewat, dah tentu mereka semua dah pun makan.
“Namun jangkaan kami meleset teruk. Mereka balik ke khemah masing-masing dan bawa mangkuk-mangkuk kecil. Siap ada ibu-ibu tua datang ikut,” tulis Noh.
Malah, momen yang paling meninggalkan kesan pada Noh apabila melihat kanak-kanak itu menghirup sup sambil memejamkan mata dan mengangkat ibu jadi sebagai tanda bagus pada ibu mereka.
“Mula dengan seorang, akhirnya jadi semua orang. Ayam adalah beberapa ketul. Kasi sahajalah kepada mereka dan akhirnya ia habis begitu sahaja.
“Yang buat kami menangis sendirian ialah mereka ini ceduk menggunakan mangkuk yang mereka pegang dan hirup sup itu sambil duk pejam-pejam mata, kemudian mereka pandang saya dan tunjuk ibu jari seperti “best”.
“Itu antara pengalaman peribadi saya yang susahnya saya nak lupa. Ia adalah momen penting dalam hidup manusia yang boleh makan apa sahaja, nak itu, masak, nak ini, beli. Namun tidak mereka,” ujar Noh lagi.
Walaupun Noh tidak dapat berangkat ke sana kerana pandemik COVID-19 masih belum reda, dia mengharapkan bantuan yang berterusan daripada rakyat Malaysia mampu memberikan senyuman kepada warga Syria yang memerlukan.
Noh turut menyeru untuk sesiapa sahaja yang ingin menghulurkan bantuan khususnya bagi misi ibadah korban menerusi Persatuan Cinta Syria Malaysia.
Sumbangan ke akaun rasmi kami di atas nama Persatuan Cinta Syria Malaysia: Maybank : 562834640983 Rujukan (reference): Misi Qurban.
Selain Noh, antara selebriti Malaysia lain yang turut terlibat dalam misi bantuan ke Syria adalah Aizat Amdan, Faizal Tahir, Mizz Nina dan Altimet.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar