Laman Utama

Meriahnya! Restoran Nasi Kandar Lokasi Pilihan Bersahur Di Pulau Pinang

Awani
03/04/2022
02:36 MYT
Sponsor Banner
Meriahnya! Restoran Nasi Kandar Lokasi Pilihan Bersahur Di Pulau Pinang
Meriah dan seronok! Itulah perasaan yang dapat disimpulkan apabila orang ramai akhirnya dapat bersahur di kedai makan setelah hampir dua tahun tidak berbuat demikian sejak negara dilanda COVID-19.
Menerusi tinjauan Astro AWANI di restoran nasi kandar di Kepala Batas mendapati suasana awal pagi begitu meriah apabila ramai yang memilih untuk bersahur di restoran pada malam pertama Ramadan.
Beberapa pelanggan yang ditemui berkata, kebenaran restoran beroperasi semula selama 24 jam selepas peralihan negara ke fasa endemik memudahkan mereka dan juga pekerja yang bekerja syif malam membeli makanan dan minuman.
“Rasa meriah sangat, di sini memang kawasan tarikan bagi orang Kepala Batas untuk bersahur, memang tiap-tiap tahun sebelum ini macam ini, sebab ada makanan panas, banyak menu, ada ayam goreng, kita memang cari macam itu.
"Lagi satu orang Pulau Pinang ini memang suka nasi kandar. Saya baru balik kerja jadi mudah untuk terus bersahur.
“Satu lagi sebab sini (restoran) dekat dengan hospital, jadi mana yang bekerja malam mereka boleh datang ke sini, suasana meriah.
“Tahun lepas kita tak boleh bersahur macam ini, jadi malam ini meriah walaupun kita jaga SOP tapi suasana itu masih meriah," kata pekerja farmasi, Shazrin Mohd Yusof.
Terdahulu, operasi kedai makan sebelum ini dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam sahaja.
Bagaimanapun selepas peralihan negara ke fasa endemik, kini diberi kebenaran untuk dibuka dalam tempoh 24 jam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, had masa operasi premis makanan kini dimansuhkan dan pemilik boleh menjalankan operasi selama 24 jam mengikut syarat lesen operasi mereka.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar