“Metallica Pun Tak Marah Nyanyi Lagu Dia”- Bergerak Solo Dalam Konsert, Muss Tak Takut Nyanyi Lagu May
Bergerak solo sejak tahun 2019, penyanyi Muss mengakui membuat persembahan tanpa kumpulan May memberi terjemahan berbeza buat dirinya.
Kata Muss atau nama sebenarnya Musstafa Din, 54, ada kelebihan dan kekurangan bagi dirinya selepas bergerak solo.
"Tak nafikan saya sudah biasa dengan kumpulan. Apabila bergerak solo, semua diuruskan sendiri tanpa mengira orang lain.
"Tetapi, saya lihat ada kelebihan dan kekurangan untuk setiap aspek sama ada bergerak solo atau berkumpulan.
"Bergerak solo saya lalui dengan positif dan lebih bebas. Alhamdulillah, selepas peralihan ke fasa endemik, tawaran kerja seni berlimpah ruah sehingga hujung tahun,” katanya kepada Astro Gempak.
Muss ditemui ketika sidang media Konsert Rock On 40: The Legends baru-baru ini. Selain Muss konsert itu turut menggabungkan nama-nama besar lagenda rock lain iaitu Awie, Ella serta pemuzik terkenal Man Kidal.
Bakal bergerak solo dalam Konsert Rock On 40: The Legends, Muss memberitahu dia bebas untuk menyayikan mana-mana lagu termasuk dari kumpulan May tanpa meminta izin mereka.
“Saya tak perlu minta keizinan sesiapa untuk menyanyikan lagu penyanyi atau ciptaan orang lain, jadi saya pun boleh menyanyikan lagi May.
“Sebagai contoh saya pun boleh menyanyi lagu kumpulan Metallica mereka tak marah. Cuma pencipta lagu boleh claim lah right lagu mereka nanti, itu sahaja,” jelasnya.
Ditanya hubungannya dengan anggota May, Muss yang pernah menyertai Gegar Vaganza musim ke tunuh itu memilih tidak memanjangkan krisis yang berlaku.
"Jika nak diikutkan banyak perkara berbangkit. Cuma, saya tidak membalasnya dan lebih banyak berdiam diri.
"Saya malas nak cakap dan memanjangkan cerita kerana ia akan menjadi lebih remeh.
“Rasanya orang luar tak perlu diterangkan untuk memahami apa yang terjadi. Kalau tak faham biarlah kekal tidak faham.
"Apabila nak membetulkan sesuatu perkara, ia mendorong kepada hal memburukkan orang lain,” ujarnya.
Konsert Rock On 40: The Legends yang direalisasikan oleh Menara Network Sdn Bhd (MNSB) dan mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu bakal dipentaskan dua hari mulai 2 Disember depan di Istana Budaya.