Hiburan
Miley Cyrus Batal Konsert Amal Gara-Gara COVID-19
Penyanyi popular Hollywood, Miley Cyrus membatalkan konsertnya di Australia yang sepatutnya berlangsung tiga hari lagi.
Memetik laporan Reuters, konsert yang dijadualkan berlangsung di Melbourne pada 13 Mac itu dibatalkan ekoran epidemik COVID-19 yang semakin membimbangkan.
Konsert itu bertujuan untuk mengumpul dana untuk disalurkan kepada badan-badan kebajikan di Australia bagi kerja-kerja baik pulih selepas kebakaran hutan di negara itu baru-baru ini.
"Saya sangat kecewa tidak dapat berada di sana, tetapi saya lakukan perkara yang sepatutnya untuk menjaga serta melindungi keselamatan kru dan kumpulan muzik saya," tulis Miley di Twitter.
Setakat ini, COVID-19 di Australia telah mencatatkan kes sebanyak seratus pesakit dengan tiga kematian.
"Saya masih akan menderma untuk mangsa kebakaran di sana," kata Miley lagi tanpa menjelaskan secara terperinci tentang cara menyalurkan derma tersebut.
Untuk perkembangan di Malaysia, COVID-19 telah memasuki kes ke 117, 24 daripadanya telahpun sembuh dan dikeluarkan dari hospital.
Sumber : Reuters