Hiburan
Minat Berkhemah, Cetus Idea Ben Amir Keluarkan Sambal Sendiri
Aktor Ben Amir mengorak langkah dalam bidang perniagaan apabila mengeluarkan sambalnya tersendiri yang diberi nama Sambal Budak Camping.
Menurut Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, 30, produk sambal merupakan sesuatu yang mudah dan versatil untuk pelbagai kegunaan.
“Saya sebenarnya nak kongsi sambal kegemaran dengan semua sebab sambal ni memang pedas gila dan saya sukakan makanan yang pedas.
“Tambahan pula saya suka aktiviti berkhemah dengan teman-teman, kami akan bawa sambal ni sebab mudah dan makanan akan jadi sedap gila.
“Kami letak sambal ni dalam apa je menu kami, nasi, telur, ayam, apa-apa je la mesti makanan akan jadi enak,” kata Ben ketika dihubungi Gempak.
Tambah Ben, dia menerima banyak permohonan untuk orang ramai menjadi agen meskipun sambal ini bakal dilancarkan pada jam 9.30 malam ini secara IG live.
“Alhamdulillah, dari promo yang pertama dah dapat maklumbalas yang baik. Ramai juga ingin menjadi agen sambal kami walaupun masih belum dilancarkan.
“Sekarang sambal ini hanya ada satu perisa dan satu saiz sahaja dengan harga RM26 untuk 280 gram. Kami gunakan bahan-bahan yang berkualiti dan boleh didapati menerusi agen-agen kami seluruh Malaysia,” ujarnya lagi.
Selain sibuk menguruskan aktiviti lakonan, Ben dan team budak camping akan turut serta dalam siri jelajah seluruh Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi untuk bertemu dengan para agen.
“Siri jelajah ni juga sebagai satu tanda penghargaan kepada kepada semua agen dan bertemu dengan penyokong saya selama ni.
“Di samping itu, kami ingin membantu melahirkan 50 usahawan dalam masa terdekat kerana kami percaya produk sambal kami dapat tembusi pasaran antarabangsa dengan pelan dan strategi yang telah disusun,” katanya sebagai penutup.