Hiburan
"Minta Jauh Sangat-Sangat" - Didakwa Menderita Kanser, Ini Penjelasan Pelakon Veteran Roslan Salleh
Sejak kisah pelakon veteran, Roslan Salleh menjual daging dendeng disiarkan di portal Gempak beberapa hari lalu, ramai netizen yang prihatin bertanyakan tahap kesihatannya.
Namun apa yang menimbulkan persoalan, terdapat juga komen mendakwa pelakon itu kini sedang bertarung sakit kanser.
Gempak berkesempatan untuk menghubungi dan mendapatkan penjelasan pelakon veteran ini.
Menurut Roslan atau mesra dipanggil Pak Lan, dia memang mengalami masalah kesihatan sejak 10 tahun lalu.
Antara penyakit yang dialaminya termasuklah kencing manis, tekanan darah rendah serta pernah mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.
Namun begitu, berita yang mendakwa dia menderita penyakit kanser itu tidak benar dan khabar angin semata-mata.
"Alhamdulillah, setakat ini sakit saya masih lagi terkawal. Kencing manis dan tekanan darah rendah tu biasalah. Kekuatan pun dah kurang sekarang terutama dekat kaki dan lutut.
"Tetapi, kalau kanser tu, minta jauh sangat-sangat. Terkejut juga jika ada yang membawa berita tidak sahih," katanya.
Menurut Pak Lan, biarpun badannya tidak lagi kuat, dia masih perlu menyara hidup keluarganya dan disebabkan itu lah terhasilnya idea untuk memulakan bisnes daging dendeng.
"Dulu saya pernah jual nasi lemak dengan lauk dendeng di Taman Melawati, Kuala Lumpur tapi itu 10 tahun lalu.
"Jadi sekarang bila dah pulang ke kampung di Masjid Tanah, saya bawa resipi daging dendeng itu dan jualkan secara komersial sejak dua tahun lalu.
"Alhamdulillah walaupun tidak banyak, namun cukup menampung perbelanjaan harian. Dalam sehari tu, lebih kurang 50 bekas juga yang terjual," katanya.
Jika mahu membeli daging dendeng Pak Lan, anda boleh lakukan carian 'Warung Hijau Rojak Sotong' di aplikasi Waze atau Google Maps.
Jika mahu memesannya secara atas talian anda boleh terus menghubunginya menerusi mesej di aplikasi WhatsApp ke nombor 017-3250843.