Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Mira Filzah Suruh Pakai Otak Sebelum Nak Post Kat Media Sosial

Zulaikha Yusof 25/05/2021 | 01:49 MYT
Pelakon dan pengacara Mira Filzah, 28, tampil bersuara selepas berang melihat tindakan seorang wanita menyebarkan berita palsu mengenai punca kematian pemanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin akibat pengambilan vaksin AstraZeneca.
Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman menasihati semua orang supaya berfikir terlebih dahulu sebelum memuat naik sebarang hantaran di platform media sosial.
"Nak cakap ke tak ehh. Haih. Cakap lah.
"Boleh tak yang nak post apa apa dekat Instagram ke Twitter ke buat content ke, kenyataan ke, bergurau ke, pakai otak sikit?" tulisnya menerusi satu ciapan permohonan maaf individu terbabit di laman Twitter.
Sebelum ini, tular video seorang wanita yang dikenali dengan nama Aqila Yusri yang mendakwa punca kematian pemanah negara Allahyarham Haziq Kamaruddin berpunca daripada saluran darah tersumbat gara-gara pengambilan vaksin AstraZeneca.
Susulan penyebaran maklumat palsu itu, polis kini sedang mengesan wanita tersebut bagi membantu siasatan berhubung penularan video.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung rakaman video terbabit daripada seorang pelajar perempuan pada 22 Mei lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati rakaman video berkenaan dimuat naik menerusi status WhatsApp milik penama Aqila Yusri selain dimuat naik dalam Instagram @aqilayusri.
"Hasil penelitian dalam video itu mendapati terdapat seorang wanita menyatakan kematian Allahyarham Haziq berpunca daripada saluran darah tersumbat akibat vaksin AstraZeneca.
"Malah, terdapat juga dakwaan bahawa KKM melaporkan jumlah kes positif yang tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 15 Mei lalu, Allahyarham Haziq disahkan meninggal dunia akibat komplikasi saluran darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis.
#Mira Filzah #Media Sosial #Video #Allahyarham Haziq Kamaruddin #Pemanah Negara #Wanita Tular
;