Laman Utama
“Moga Syurga Buatmu, Syahid Ketika Sedang Berbuat Amal…” – Remaja Lemas Bantu Mangsa Banjir Undang Simpati Warganet
Kematian Mohammad Hakimin Rahim, 20, ketika sedang membantu mangsa banjir di Kampung Manjor, Kuala Krai, Kelantan mengundang simpati warganet.
Sebaik sahaja berita mengenai kematian Hakimin disiarkan media, ramai warganet menitipkan doa buat keluarga Allahyarham.
Ibu Allahyarham, Norazilah Mohamad berkata anaknya itu sempat makan nasi bersama telur goreng dan memberitahu berkejar masa untuk menyelamatkan penduduk kampung kerana air (banjir) mula naik.
Norazilah berkata, anak ketiga daripada enam beradik itu ringan tulang kerana suka membantu penduduk yang berada dalam kesusahan selain sanggup mengambil upah membeli barang keperluan penduduk yang terkandas setiap kali berlakunya banjir.
Terdahulu media melaporkan Allahyarham Hakimin dikatakan terlalu kepenatan sebelum tiba-tiba pengsan pada jam lebih kurang 10 malam ketika berdayung perahu membawa dua penumpang ke PPS berdekatan.
Bapa Allahyarham, Mohamad Rahim Mohamad Yusof, 53, kemudiannya meminta pertolongan penduduk untuk mencari anaknya yang hilang itu sebelum menghubungi pasukan penyelamat.
Dua abang kembarnya iaitu Mohammad Hafizi dan Mohamad Hapipi, masing-masing berusia 23, tetap menunggu arwah dari pagi sehingga Subuh sambil mengais dasar sungai menggunakan buluh sehinggalah dia ditemui.
Mayat Hakimin dijumpai oleh ahli keluarganya di dasar sungai kira-kira jam 8.30 pagi tadi di tempat dia dilaporkan terjatuh dari perahu.
Mangsa dikatakan terlalu kepenatan dan mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk semasa membantu penduduk kampung sejak dari awal pagi sehingga malam.
Ibu Hakimin memberitahu terkilan kerana anaknya itu tidak sempat menghadiri temu duga sebagai anggota polis selepas dia membuat permohonan pada tahun lalu.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Manjor selepas solat Asar pada petang Khamis.