Laman Utama
Mohon Bantuan Konon Alami Kesempitan Hidup, Baitulmal MAIWP Terkejut ‘Asnaf’ Diami Kondo T20
Sebelum ini, kita sering melihat Pusat Pungutan Zakat MAIWP memberikan bantuan kepada yang memerlukan. Pelbagai jenis bantuan diberikan termasuk makan, pakai dan juga wang tunai buat belanja seharian.
Begitupun, lain pula ceritanya dengan kisah yang berlaku baru-baru ini. Menerusi perkongsian akaun Facebook rasmi Baitulmal MAIWP, terdapat aduan yang diterima tidak selari dengan realiti sebenar asnaf yang terlibat.
“Asnaf perlu bersedia untuk menurunkan gaya dan cara hidup. Bertindak atas aduan awam yang diterima, MAIWP menerusi Skuad Jejak Asnaf telah turun menjejaki sebuah keluarga yang dikatakan memerlukan kepada bantuan zakat.
“Setibanya di lokasi, kami didatangi perasaan terkejut apabila melihat nilai hartanah di tempat tersebut. Secara pratikalnya, sesebuah keluarga yang sedang bergelut dengan masalah kewangan tidak akan mampu menghuni kediaman mewah sedemikian,” tulis hantaran berkenaan.
Dalam pada itu, Baitulmal MAWIP berkata, ramai yang tinggal di kawasan mewah kerana pentingkan faktor keselesaan di samping keselamatan keluar dan lokasi kediaman yang hampir dengan sekolah anak-anak.
“Kebanyakan daripada mereka memberikan alasan untuk tinggal di tempat berikut adalah disebabkan faktor keselesaan dan keselamatan keluarga selain lokasinya berdekatan dengan sekolah anak.
“Hasil dapatan maklumat yang diperolehi, mereka ini menghuni di kediaman tersebut dengan bayaran sewa secara bulanan. Bukannya rumah pusaka mahupun menerima ehsan tinggal percuma daripada orang lain.
“MAIWP menasihatkan kepada mereka di luar sana yang terkesan atau berada dalam kesempitan hidup perlu bersedia untuk menurunkan gaya dan cara hidup. Kita seharusnya bijak menyesuaikan di antara keperluan dan juga kehendak seiring dengan kemampuan semasa.
“MAIWP sentiasa ada untuk membantu bagi meringankan beban dan kesusahan hidup yang mereka alami,” kata kenyataan itu lagi.