Viral
Momen Buah Mangga Untuk 'Pak Long' Runtun Hati Warganet
Bukan setakat kasih sayang seorang guru, malah karakter seorang guru besar lelaki di salah sebuah sekolah rendah di negara ini turut disifatkan seperti seorang ayah.
Buktinya, menerusi sepotong video yang viral, individu terbabit dirakamkan mengalirkan air mata ketika majlis perpisahan bersama anak-anak muridnya.
Lebih sayu, guru besar yang digelar 'Pak Long' itu menerima beberapa biji buah mangga yang diletakkan di dalam plastik jernih daripada salah seorang anak muridnya.
Lebih meruntun emosi apabila anak murid terbabit dilihat memeluk 'Pak Long' sambil mengesat air mata.
Kanak-kanak itu yang dikatakan anak yatim itu bukan sahaja sugul, malah tidak mampu menahan air matanya apabila dia berkali-kali dilihat mengelap air matanya setelah dipeluk erat gurunya.
Momen itu turut mengundang sebak guru pengiring lelaki yang berada dalam majlis berkenaan.
Pelbagai reaksi balas dari pelayar facebook mengenai sifat guru besar berkenaan. Salah seorangnya, Khairuddin Ramli berkata, guru besar berkenaan pasti memiliki sifat seorang bapa penyayang.
"Jarang sekali anak-anak pelajar akan menangisi pemergian seorg guru besar. Mabruk buat guru besar tersebut," tulisnya.
Salina Hassan pula menyifatkan guru berkenaan mempunya hati yang murni.
"Mesti sangat baik Guru Besar ni. Jarang budak-budak rapat dan sayang guru besar, tahniah cikgu the real pendidik," katanya.