Laman Utama
Momen Hiba! Ashraf Anuar Sorong Kerusi Roda, Lap Air Mata Ibu Di Pentas Runway
Berkat kejayaan anak pastinya dengan doa ibu! Selagi ibu hidup, selagi itulah doa mengalir.
Momen hiba disaksikan lebih 3,500 tetamu pada pertunjukan fesyen Neonate x SVG apabila pempengaruh Ashraf Anuar menyorong kerusi roda ibunya ke tengah-tengah pentas peragaan baru-baru ini.
Dalam suasana yang penuh sayu itu, ibu Ashraf gagal menahan air mata sebaik melihat kejayaan anaknya itu. Malah, Ashraf turut membawa ibunya yang berkerusi rosa mengelilingi ‘runway’ terpanjang yang dianggarkan 800 meter.
Suasana menjadi penuh gamat dengan sorakan peminat fesyen jenama itu yang kagum dengan kehebatan Ashraf selain dilihat sentiasa mengutamakan keluarga.
Ashraf, 23, yang juga pengasas SVG menzahirkan ucapan penghargaan buat keluarga terutama ibunya sempena kejayaan yang diraih saban hari.
"Kesemua ahli keluarga saya juga hadir terutama ibu tercinta walaupun dalam keadaan kurang sihat. Beliau tetap gagahkan diri untuk hadir ke pertunjukan fesyen anaknya.
"Terima kasih kerana mendidik Ashraf Anuar sehingga ke hari ini ibu. Ini semua untuk ibu semoga acara ni juga menjadi penguat semangat untuk ibu sihat seperti sediakala," katanya.
Dalam pada itu, Ashraf turut berkongsi rasa teruja apabila Neonate X SVG yang bertemakan ‘Race Day’ melakar sejarah baharu apabila menjadi jenama pertama yang berjaya membuat sebuah pertunjukan fesyen di Litar Antarabangsa Sepang.
“Terima kasih buat yang hadir dari jauh, berpanas dari pagi hingga ke malam demi pertunjukan fesyen kami.
“Harap semuanya berpuas hati dengan apa yang kami tampilkan dan tidak lupa juga buat rakan penaja utama De’xandra, Vapeboss Malaysia kerana percaya dengan kemampuan kami,” katanya.
Untuk rekod video Ashraf yang memperkenalkan ibunya dalam majlis pertunjukan fesyen Neonate X SVG itu ditonton lebih 130,000 dan meraih lebih 600 komen.
Bertemakan ‘Race Day’, pertunjukan Neonate X SVG itu diadakan sehari sebelum jadual rasmi Kuala Lumpur Fashion Week 2023 (KLFW23).
Lebih 83 koleksi ‘Race Day’ diperagakan dengan pembabitan 80 model pilihan Neonate dan SVG. Separuh model yang membuat kemunculan di atas trek lumba dipilih menerusi uji bakat yang dijalankan pada Jun lalu.
Seramai 10 Muse diperkenalkan pada acara ini seperti MK K-Clique, Saixse, Haneesya Hanee, Qawiy (TikTok) dan ramai lagi.