Hiburan

MonoloQue Kolaborasi Bersama Aizat Amdan Menerusi Single Urusan Seri Paduka Baginda - Versi Agong

Kamaruddin Razal
15/08/2019
12:44 MYT
Sponsor Banner
MonoloQue Kolaborasi Bersama Aizat Amdan Menerusi Single Urusan Seri Paduka Baginda - Versi Agong
Kumpulan muzik rock yang membawa genre nusantara, MonoloQue baru sahaja melancarkan single terbaru mereka bersama Aizat Amdan diiringi video muzik mereka yang berjudul Urusan Seri Paduka Baginda (USPB) - Versi Agong.
Lagu ini dilancarkan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Single ini merupakan single kedua yang akan dimuatkan bersama dalam album Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di abad ke-21) yang bakal disajikan akhir tahun ini.
Single pertama dari album terbabit adalah lagu Chinta, kolaborasi bersama NJWA yang muncul pada tahun lalu.
Menyingkap perjalanan lagu ini, ia bermula kira-kira 15 tahun lalu selepas Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal, Pengarah Perbadanan Muzium Pahang mendengar lagu bersama gamelan dalam album Selamat Tinggal Dunia oleh Butterfingers.
Di situ, Farid amat tertarik dengan penggunaan gamelan bercampur muzik moden dan telah menghubungi loQue untuk berkerjasama.
Aizat Amdan menjadi taruhan membawa lagu ini ke pentas yang lebih umum dan video muzik lagu ciptaan loQue dan lirik sumbangan Farid ini menampilkan juga Orkes Gamelan Pahang Diraja dan penari Gamelan dari Kumpulan Kesenian Pejabat SUK Pahang.
Lirik oleh Farid dipena khas untuk Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan menggambarkan betapa pentingnya Yang di-Pertuan Agong dan institusi beraja ini kepada keamanan dan kesejahteraan negara.
Untuk nilai-nilai estetika lagu Urusan Seri Paduka Baginda pula, gamelan bukan saja diamati, didalami dan disanjungi loQue malah loQue telah menjadikan gamelan itu sebagai elemen yang paling dominan, membuatkannya bukan sahaja relevan malah watak atau motif penting dalam menjayakan lagu ini serta album gamelan, Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu di abad ke-21).
Melodi gamelan lagu Ketawang yang dimainkan oleh Orkes Gamelan Pahang Diraja menggunakan set gamelan asal turun temurun yang pertama masuk ke Tanah Melayu sekitar 200 tahun lalu kini diadun sebati bersama muzik moden sekaligus memberi nafas ganjil tapi unik di samping ia memberi satu perasaan serta “kesegaran” yang sukar hendak digambarkan dengan perkataan.
Berlatarkan Balairong Seri Muzium Diraja, ia sangat memberi impak dari segi visual. Tarian yang diubahsuai mengikut landasan Tari Gamelan Tradisional, pereka tari Ker Yer Teng berhati-hati ketika menyelitkan unsur kontemporari tarian gamelan di dalam muzik video itu.
Dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Muzium Diraja dan Perbadanan Muzium Negeri Pahang, terhasillah sebuah video muzik dibawah arahan loQue.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar