Moratorium Peminjam PTPTN Dilanjut Sehingga Disember
Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman (moratorium) Perbadanan Tabungan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam untuk tempoh tiga bulan lagi mulai 1 Oktober sehingga 31 Disember 2020, lapor AWANI.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, ia melibatkan penangguhan bayaran balik sebanyak RM375 juta.
"Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion. Semua peminjam PTPTN akan diberikan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.
"Sekiranya terdapat peminjam yang ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang telah disediakan," jelasnya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Jelasnya, Kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi oleh sebilangan peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran hidup disebabkan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan akibat pandemik COVID-19.
Justeru pengumuman penangguhan bayaran balik pinjaman itu diharapkan dapat membantu meringankan beban peminjam PTPTN.
Untuk maklumat lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN melalui talian di 03 -2193 3000 atau melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my.
Sumber : Astro AWANI