Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Mufti Pulau Pinang Gesa Tunda Konsert, Ini Respons Yayasan Nurjiwa

Izwan Isa 18/01/2024 | 09:49 MYT
Penganjur Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza, Yayasan Nurjiwa menyambut baik gesaan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor agar Datuk Seri Siti Nurhaliza menunda konsert yang bakal dijayakan pada 9 Mac 2024 ke tarikh lain.
Datuk Seri Khalid Nurjiwa selaku pengasas yayasan menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya berlapang dada menerima gesaan dan teguran berkenaan. Namun, penganjuran konsert tersebut masih akan diteruskan memandangkan segala persiapan telah pun dibuat dan penundaan memberi implikasi terhadap dana yang ingin disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“Pada 8 Januari 2024 lalu, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan secara rasmi penganjuran Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil. Pada sidang media itu juga sudah dimaklumkan, sejak mula diberikan tarikh penganjuran konsert oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional, kami di Yayasan Nurjiwa dan pihak Siti Nurhaliza sedia maklum tarikh 9 Mac 2024 menghampiri 1 Ramadan.
“Kami di Yayasan Nurjiwa juga telah diberitahu oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional bahawa 9 Mac sahaja tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2024 yang boleh ditawarkan kepada kami. Untuk pengetahuan semua, pihak kami sudah mula membuat tempahan dengan Perbadanan Stadium Nasional sejak awal tahun 2023 lagi, nama tarikh yang sepatutnya tidak dapat kami laksanakan dan mohon penangguhan dengan mendapatkan tarikh baharu,” katanya dalam kenyataan itu.
Memahami matlamat dan objektif utama penganjuran Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza membuatkan pihak yayasan mencapai keputusan secara konsensus untuk meneruskannya.
“Izinkan kami untuk sekali lagi menjelaskan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza bukan dianjurkan atas kepentingan perniagaan dan keuntungan. Yayasan Nurjiwa adalah sebuah badan amal yang ditubuhkan sejak tahun 2006. Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza telah sering menyebut tujuan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza adalah untuk mengutip dana bagi menampung lima kluster kerja-kerja kebajikan iaitu Kebajikan, Kemanusiaan, Keagamaan, Pendidikan dan Bantuan Khas Palestin.
“Kesemua kluster berkenaan menjadi keutamaan Yayasan Nurjiwa dan bagi meneruskan kerja-kerja kebajikan itu, ia memerlukan dana yang mencukupi. Segala hasil kutipan tiket daripada pementasan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza akan disalurkan ke lima-lima kluster berkenaan.
“Dalam masa sama, Yayasan Nurjiwa akan meneruskan kerja-kerja kebajikan lain seperti tradisinya setiap kali kehadiran bulan Ramadan Syawal dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Inilah matlamat yang kami ingin lakukan memandangkan selepas konsert, bulan Ramadan dan Syawal adalah bulan aktif bagi aktiviti amal yang telah kami lakukan sebelum ini.
“Justeru, matlamat penganjuran Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza ini sangat jelas untuk berkongsi rezeki dan sekali gus amat diyakini akan mengurangkan beban penderitaan sesetengah golongan termasuk saudara-saudara kita di Palestin. Kami juga mempunyai program khas sedekah Nur Muhammad yang menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan,” jelasnya lagi.
Bertitik tolak daripada matlamat itu juga, Yayasan Nurjiwa terfikir ada baiknya pementasan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza diteruskan.
Dalam masa sama, Yayasan Nurjiwa ingin jelaskan, penundaan konsert itu akan memberikan implikasi yang besar pada banyak pihak khususnya di pihak produksi serta pengurusan Perbadanan Stadium Nasional.
Bahkan, apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak disaluran dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin.
“Kita tidak mampu untuk menunda bekalan makanan dan bahan asas untuk saudara-saudara kita di Palestin.
“Komitmen kami kepada mangsa-mangsa perang di Palestin perlu diteruskan sejak kami memulakannya pada Oktober lalu. Terlewat sehari dua saja boleh mengundang malapetaka lain buat mereka. Oleh itu, Yayasan Nurjiwa berpendapat, ada baiknya konsert diteruskan demi untuk mencari dana,” ujarnya.
#Siti Nurhaliza #Yayasan Nurjiwa
;