Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

"Mula-Mulanya Mengadu Kebas Tangan & Lenguh Badan" - Izam EYE Diserang Angin Ahmar!

Amri Hassan 25/06/2019 | 11:22 MYT
Bekas bintang rancangan realiti Gema Gegar Vaganza, Izam EYE dikejarkan ke Hospital Serdang akibat serangan angin ahmar selepas pulang dari Kuantan, Pahang, semalam.
Izam atau nama sebenarnya Mohd Izam Arshad, 51, yang dahulunya pernah menjadi vokalis kumpulan EYE difahamkan mengadu kebas tangan dan lenguh badan apabila tiba di kediamannya sekitar pukul 4 pagi.
“Abang Izam tiba di rumah jam 4 pagi dan mengadu rasa seperti kebas tangan serta lenguh badan.
“Saya memintanya berehat dan dia tidur selepas Subuh. Apabila bangun kira-kira jam 10 pagi, dia tidak boleh angkat tangan dan kaki.
“Seterusnya pada jam 1 tengah hari pula, dia langsung tidak boleh berdiri, tidak bermaya dan rebah di ruang tamu.
"Keadaannya tidak stabil dan saya segera membawanya ke Hospital Serdang,” kata isteri kedua Izam, Rosmawati Hassan kepada Harian Metro.
Menurutnya, Izam ditempatkan di zon kritikal wad kecemasan dan pemeriksaan doktor mendapati dia mengalami angin ahmar ringan.
“Tekanan darah abang Izam terlalu tinggi. Dia memang tak makan ubat darah tinggi dan ini membahayakan kesihatannya.
“Buat masa ini doktor sedang memantau darah tingginya dalam tempoh 24 jam dan belum membenarkan dia masuk wad serta masih dalam keadaan sedarkan diri.
“Semalam doktor membuat imbasan untuk tengok sekiranya ada pendarahan dalam otak tapi tak nampak apa-apa. Begitupun, doktor akan buat ujian ini sekali lagi untuk memastikan tiada pendarahan kerana takut kemungkinan berlaku sesuatu yang lebih serius,” katanya.
Rosmawati berkata, bacaan darah tinggi suaminya mencecah 210 dan risiko untuk lumpuh sepenuhnya jika dibiarkan.
“Alhamdulillah, setakat ini baru dikesan angin ahmar ringan dan harapnya tiada yang serius,” katanya.
Selain Rosmawati, Izam turut mempunyai isteri pertama iaitu Hayatie Rahmat dan dikurniakan tujuh anak.
EYE mencipta populariti pada era 1990-an menerusi lagu Izinkan Selamanya Namamu Di Hati, Kau Tetap Di Jendela Kenangan Ku, Bimbang Serumpun Kasih Terbuang dan banyak lagi.
Sumber: Harian Metro
#GGV #Izam EYE #Angin Ahmar
;