“Mulanya Saya Memang Pelik, Bila Bangun Pagi Ada Orang Di Sebelah” - Muna Shahirah Selamat Bernikah Dengan Mualaf
Penyanyi Muna Shahirah selamat bernikah dengan pasangannya, Sean Tee Yeu Terng Abdullah, dengan dua kali lafaz dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing, Johor.
Pasangan terbabit dinikahkan bapa Muna iaitu Munadi Juki di hadapan jurunikah dengan mas kahwin sebanyak RM1,000 dan hantaran sebanyak RM60,000.
Muna menerusi laporan Harian Metro meluahkan rasa syukur kerana majlis pernikahannya berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT.
"Alhamdulillah, saya sudah bergelar isteri kepada Sean. Pada mulanya, saya memang pelik, bila bangun pagi ada orang di sebelah. Namun, saya berasa bahagia kerana kini kami sudah bergelar suami isteri yang sah," katanya.
Ditanya suaminya yang juga mualaf, Muna berkata, dia akui mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membimbing dari segi agama.
"Jika nak diikutkan, suami memang sudah lama meminati agama Islam dan dia sudah memeluk Islam Januari lalu.
"Kami memang dalam fasa yang indah kerana sama-sama belajar agama.
"Saya juga terbuka hati untuk menerimanya dalam hidup kerana dia seorang yang 'soft spoken' dan menenangkan," katanya.
Pada majlis pernikahan itu, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Hanya Buatan itu, mengenakan busana rekaan Mirol Jonit.
Manakala, majlis resepsi mereka berlangsung hari ini di lokasi sama dengan membabitkan lebih 1,500 Jemputan dan orang ramai.
Mengimbas perkenalan mereka, Muna berkenalan dengan Sean menerusi permainan video PUBG sejak tiga tahun lalu, selain menjadi pemain profesional PUBG, Sean juga membantu menguruskan karier seni Muna.
Sumber - Harian Metro