Hiburan
"Muntah Berulang Kali, Ngadu Perut Keras ..." - Fizi Ali Risau Dengan Keadaan Isteri & Anak
Penyampai radio, Fizi Ali mengaku risau apabila dimaklumkan oleh doktor mengenai keadaan anaknya di dalam kandungan isterinya, Shakilla Khoriri.
Menurut Fizi, ini merupakan pengalaman pertama kali dia alami dalam tempoh isterinya mengandung.
"Saya bergegas membawa Shakilla ke klinik selepas dia muntah berulang kali serta mengadu perutnya keras akibat keracunan makanan pada malam itu.
"Doktor memberitahu bayi dalam kandungan isteri berada dalam keadaan songsang.
"Kami yang tiada pengalaman sudah tentu berasa risau dengan keadaan itu tapi doktor beritahu jangan bimbang," katanya.
Fizi ditemui ketika majlis Sambutan Suria 11 Tahun yang diadakan di Tropicana City Office Tower baru-baru ini.
Fizi atau nama sebenarnya Mohd Hafizudin Alimudin berkata keadaan Shakilla semakin pulih selepas dimasukkan air dalam badan serta diberi ubat demam.
"Namun, apabila tiba waktu malam Shakilla akan kembali demam. Kami akan berjumpa semula dengan doktor untuk pemeriksaan selanjutnya," kata Fizi.
Fizi dan Shakilla berkahwin pada 18 Februari lalu dan bakal menimang cahaya mata Mac tahun depan.