Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Muse, 90 Minit Tidak Cukup Penantian 16 Tahun

Maliah Surip 31/07/2023 | 04:19 MYT

Penulis ingin mengulang tajuk yang diberi dalam perenggan pertama ini — Muse, 90 Minit Tidak Cukup Penantian 16 Tahun.

Barangkali itu yang dirasakan oleh lebih 52,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai 2023 yang sangat dinantikan.
Muse tidak buat salah (kecuali meninggalkan tanda tanya mengapa mengambil masa yang agak lama untuk muncul iaitu sekitar pukul 9.25 malam).
Matt Bellamy menyanyi dengan cemerlang bersama dua sahabat Chris Wolstenholme dan Dominic Howard yang memainkan instrumen masing-masing mengikut piawaian dan kepakaran sebagai sebuah kumpulan British yang unggul.
Sistem bunyi ‘gempak’. Permainan lampu sama padu dengan ‘hiasan’ pentas di LED. Sejak lagu pertama yang diambil daripada album terkini mereka yang juga menjadi tema konsert iaitu Will Of The People, Muse sudah membuat seluruh stadium menggila.
Apa lagi apabila untaian hit yang ‘membesarkan’ nama Muse dalam kalangan penggemarnya seperti Hyesteria, Time Is Running Out dan Supermasive Black Hole serta Starlight dimainkan, band rock tersebut benar-benar membawa semua pulang ke zaman kemahsyuran mereka.
Lagu-lagu tersebut (sekadar menyebut beberapa) telah ‘hidup’ dalam diri peminat Muse sejak album perdana pada 1999 menjadikan kehadiran mereka ke Malaysia adalah sebuah momen yang tidak boleh dilepaskan.
Sementelah Muse pernah memperlihatkan kehebatan mereka lewat sebuah konsert yang dilakukan pada 2007 atau 16 tahun lepas di Kuala Lumpur.
Dan Bellamy selain ucapan ‘terima kasih Kuala Lumpur’, juga menzahirkan keterujaan kerana dapat kembali beraksi di Malaysia selepas 16 tahun.
Lebih membanggakan, Malaysia menjadi satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara yang dipilih Muse secara eksklusif untuk bertemu dengan ‘bala tenteranya’. Malah konsert dibuka oleh band lokal pilihan mereka, Kyoto Protokol.
Juga, menerusi siri konsert yang dibawakan Hello Universe ini, Muse terus menyuburkan kembali keghairahan peminat terhadap muzik dan mengingatkan mengapa band ini layak untuk diminati.
Cuma seperti tajuk yang diberi, ‘Muse’ 90 Minit Tidak Cukup Penantian 16 Tahun’, ia memang tidak cukup.
Sebagai seorang penggemar yang ‘tamak’, mendengar dan melihat secara langsung lagu-lagu seperti You Make Me Feel Like It's Halloween, Psycho, Compliance dan Madness langsung dalam durasi 90 minit, langsung tidak cukup memenuhi nafsu dan kepuasan kerana menanti Muse datang di depan mata pun mengambil tempoh masa 16 tahun.
Kami mahu lebih lagi atau pada masa akan datang Muse akan kembali menghiburkan peminat dengan sebuah lagi persembahan yang spektakular.

#Viral #Konsert #Stadium Nasional Bukit Jalil #Review #Muse
;