Laman Utama
Muzikal Puteri Gunung Ledang Dibatalkan, Peminat Sanggup Tunggu - "Ala Sedihnya, Tiga Tahun Menanti"
Selepas tiga tahun penantian, Enfiniti (M) Sdn Bhd mengumumkan pementasan Muzikal Puteri Gunung Ledang terpaksa dibatalkan.
Menerusi siaran media yang dikirimkan kepada Gempak, produksi terbabit memaklumkan perkara terbabit dengan rasa berat hati.
"Sebagai sebuah syarikat yang sentiasa komited dalam seni persembahan, kami percaya bahawa “the show must go on”. Namun begitu, dalam masa yang sama, kami tidak mampu menolak ada masanya keadaan sebaliknya akan berlaku.
"Setelah meneliti kesemua pilihan yang ada, kami dengan berat hati memaklumkan bahawa Muzikal Puteri Gunung Ledang yang sudah lama dirancang terpaksa dibatalkan," maklum kenyataan media itu.
Dalam masa sama, Enfiniti akan mengembalikan semula bayaran tiket secara berperingkat kepada pembeli yang sudah membuat tempahan awal.
"Kepada semua pemegang tiket, kami amat menghargai sokongan dan timbang rasa anda. Berikutan pembatalan ini, kami akan mengembalikan bayaran pembelian tiket secara berperingkat bermula 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2022.
"Dalam jangka masa 14 hari, anda akan menerima emel daripada kami berhubung butiran dan tindakan lanjut mengenai pemulangan bayaran secara online.
"Bayaran pemulangan akan dilakukan secara sistematik bersama agensi tiket, justeru, kami mohon anda
untuk bersabar sepanjang proses ini berlangsung.
"Kami merendah diri memohon maaf atas segala kesulitan dan kekecewaan yang ditercetus disebabkan pembatalan ini.
"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang tiket Muzikal Puteri Gunung Ledang atas kesabaran dan pertimbangan anda pada waktu yang tidak terduga ini.
"Kami berharap agar anda akan terus menyokong industri seni persembahan yang telah terjejajs teruk sejak dua tahun lepas," ujar kenyataan itu lagi.
Meninjau ruangan komen di Instagram rasmi Enfiniti, ramai yang meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan pembatalan pementasan muzikal berskala besar itu. Lebih menyentuh hati apabila ada yang sanggup menunggu pementasan itu diadakan semula.
"Alaa sedihnya, tapi sebenarnya sanggup tunggu.
"Mungkin pelakon tiada kelapangan masa dan sudah punyai komitmen tugas lain sekarang.
"Ini bukan pilihan yang mudah tapi saya mengharapkan yang terbaik buat Enfiniti.
"Kami akan terus menunggu. Lambat pun tak apa.
"Saya menghormati pendirian Enfiniti tapi tolonglah pentaskan semula PGL," demikian coret beberapa pengguna media sosial.
Terdahulu, pementasan berskala mega cetusan ilham pengasasnya, Puan Sri Tiara Jacquelina itu dijadualkan berlangsung di Istana Budaya pada 2020, namun serangan Covid-19 yang melanda dunia mengakibatkannya ditunda.
Sebelum itu pengumuman mengenai produksi yang bakal menampilkan beberapa muka baharu untuk menggalas watak utama menggantikan pelakon asalnya Tiara Jacquelina dan Stephen Rahman-Hughes mengundang keterujaan ramai.
Pementasan ini diangkat daripada filem epik Puteri Gunung Ledang arahan Saw Teong Hin dan tulisan Allahyarham Mamat Khalid pada 2004 yang juga filem berbajet besar mencecah RM20 juta.
Sementara, versi muzikal pula dipentaskan buat pertama kali di Istana Budaya pada Februari 2006.
Enfiniti juga turut menerbitkan pementasan lain termasuk P. Ramlee The Musical, The Secret Life of Nora serta Ola Bola The Musical.