Hiburan
#MyHero : Bantu Selamatkan Bayi Masih Bertali Pusat, Dua Anggota Polis Ini Terima Pujian Daripada Kedutaan Rusia!
Meruntun jiwa, itulah yang dapat digambarkan apabila menyaksikan usaha murni dua anggota Polis Diraja Malaysia menyelamatkan bayi pasangan Rusia yang dilahirkan di hotel baru-baru ini.
Tambah memilukan, bayi tersebut ditemui bersama pasangan tersebut ketika masih mempunyai tali pusat.
Kisah menyayat hati itu dikongsi menerusi satu posting oleh Facebook rasmi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.
Menerusi posting berkenaan. kejadian tersebut berlaku ketika Inspektor Sinniah Rajoo dan Korperal Dayang sedang membuat tugas SJR Op Covid 19 di Jalan Ampang.
"Mereka yang sedang membuat tugas SJR Op Covid 19 di Jalan Ampang telah membantu seorang warganegara Rusia yang telah melahirkan anak di sebuah hotel di sekitar Kuala Lumpur.
"Walaubagaimanapun, pasangan dari Rusia tersebut tidak mampu lagi membayar bil hotel dan tidak mempunyai duit untuk menampung mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.
"Atas dasar sikap kemanusiaan, Insp Sinniah telah membantu pasangan tersebut dengan membeli pampers dan telah bawa wanita tersebut ke Balai Polis Jalan Tun Razak untuk tindakan lanjut.
"Pasangan Rusia ini telah pergi ke Kedutaan Rusia untuk mendapatkan bantuan tetapi gagal," kata pengendali akaun tersebut.
Sementara itu menerusi Harian Metro, Inspektor Sinniah berkata bayi tersebut masih mempunyai tali pusat ketika ditemui dan pasangan yang membawanya pula berada dalam kedaaan kurus.
“Saya juga bertanya mereka mengenai kelahiran bayi itu. Lelaki berkenaan berkata dia sendiri yang menyambut kelahiran di sebuah hotel.
“Mereka mendakwa sudah kehabisan wang. Atas dasar kemanusiaan saya dan anggota menghulurkan bantuan.
“Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Tun Razak sebelum ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Difahamkan, usaha murni kedua-dua anggota ini telah pun mendapat perhatian daripada Kedutaan Rusia di Malaysia.
Dua anggota tersebut menerima ucapan ‘Terima Kasih’ daripada Kedutaan Rusia atas tindakan mereka membantu pasangan serta bayi itu sebelum ini.
Apapun kepada Inspektor Sinniah Rajoo dan Korperal Dayang, anda memang hero! Kami di Gempak sentiasa mendoakan kesejahteraan frontliner dan individu yang bertugas ketika penularan wabak COVID-19 ini.
Buat pembaca Gempak, anda juga boleh jadi hero!
Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19.