Laman Utama
Nabila Huda, Faizal Tahir, Ras Adiba Radzi #justiceforbella: “Semoga Ada Keadilan, Pelaku Segera Ditangkap!”
Selepas beberapa hari kes mengenai Orang Kelainan Upaya (OKU), yang didakwa didera tular, selebriti Malaysia mula bersatu menuntut keadilan buat remaja Sindrom Down itu.
Remaja istimewa dikenali sebagai Bella, 13, dipercayai didera oleh pengasuh yang berada di pusat asuhan sebuah kondominium di Wangsa Maju.
Penderitaan Bella mendapat perhatian ramai termasuk selebriti tempatan yang menyokong keadilan buat remaja tersebut menerusi tanda pagar #justiceforbella.
Antaranya aktres popular Nabila Huda yang mahukan kes melibatkan Bella ini dapat diselesaikan segera.
Nabila menerusi hantaran di Instagram (IG)nya meluahkan rasa terkilan apabila ada manusia kejam sanggup menyiksa Bella.
Selain Nabila, penyanyi dan komposer Faizal Tahir turut terkesan dengan apa yang telah dilakukan terhadap Bella.
Faizal turut mendoakan agar Bella serta golongan istimewa mendapat penjagaan dan pembelaan serta hak mereka yang sewajarnya.
“Semoga Bella dan mereka yang menghadapi nasib yang sama diberi kekuatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Insha’Allah. Amiin.
“My prayers are with you and those alike. Allah bersama kamu, anak syurga,” tulisnya.
Sementara itu Senator Datuk Ras Adiba binti Mohd Radzi pula menganggap pelaku yang mendera Bella tidak berhati perut dan akan dibawa ke muka pengadilan.
“Akan dibawalah ke muka keadilan dia yang memperlakukan dirimu sebegitu, siapa yang tidak berhati perut itu dan yang sangka dirinya tidak akan ditemui?
“Sebentar sahaja lagi Bella, seketika sahaja lagi. Kerana setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua,” tulis beliau.
Sementara itu tinjauan Gempak di Instagram mendapati sokongan menggunakan tandapagar #justiceforbella kini sudah mencecah hampir 13,000 hantaran daripada pengguna laman sosial itu.
Rata-rata warganet mahu kes Bella diselesaikan segera dan penjenayah yang melakukan kekejaman terhadapnya di bawa ke muka keadilan.
#Faizal Tahir
#Nabila Huda
#Dera
#Polis
#Sindrom Down
#OKU
#Kejam
#Anak Syurga
#JusticeforBella
#Justice For Bella
#Orang Kelainan Upaya