Laman Utama
Nabila 'Padam' Gambar Engku Emran Sebab Merajuk - "Biasalah Perempuan, Masa Tu Tengah Geram"
Usahawan yang juga kakak kepada personaliti popular Neelofa, Noor Nabila Mohd Noor menjelaskan rumah tangganya dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin masih harmoni.
Justeru menepis segala spekulasi mendakwa hubungan mereka bermasalah selepas Nabila memadam foto-foto Engku Emran di akaun Instagramnya baru-baru ini.
"Alhamdulillah, jodoh kami masih kuat. Kami masih bersama... Doakan kami...
"Biasalah... Dalam perkahwinan ini ada turun dan naiknya. Masa itu saya tengah geram jadi saya arkibkan saja gambar-gambar itu, tidak padam.
"Bila kita jadi perhatian, benda kecil pun jadi besar. Padahal semua perempuan pun kalau gaduh memang akan padam gambar. Itulah benda pertama yang akan dibuat.
"Boleh dikatakan saya agak emosilah ketika itu, macam itulah. Tetapi biasalah, perempuan berjiwa lembut. Tapi, walaupun ia cuma hal kecil, saya ini merajuknya lama tau," katanya kepada Gempak.
Nabila ditemui pada majlis resepsi Pakar Pelaburan Saham, Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Rasol Khan dan isteri Datin Tuan Nor Ernie Rosemerie Tuan Zahari di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Nabila juga mengaku tidak terkejut dengan sebarang spekulasi yang timbul mengenai rumah tangganya kerana sudah terbiasa menerima implikasi seperti itu sebelum ini.
"Kita dah tahu implikasinya sebab Lofa dan keluarga selalu jadi perhatian. Terkena tempias- tempias Lofa itu sudah biasa. Tetapi saya perlu berhati-hati.
"Masa tengah geram itu, saya tak fikir. Kadang- kadang bila orang nak jatuh hukum itu, kita tak payah pedulikan. Kita pun tak boleh puaskan hati semua orang," tambahnya.
Noor Nabila meleraikan khabar angin dakwaan rumah tangganya bersama Engku Emran goyah apabila berkongsi sekeping foto menunaikan solat berjemaah bersama sempena ulangtahun kelahiran ke-38 baru-baru ini.
Terdahulu, khabar angin mula tercetus apabila Nabila memadam semua foto bersama Engku Emran termasuk momen pernikahan mereka serta menukar gambar profil akaun Instagramnya.
Untuk rekod, sebelum menikahi Nabila pada 19 Mac tahun lalu, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga dengan dua selebriti jelita iaitu Erra Fazira dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya.
Malah dia juga pernah berkahwin dengan aktres popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Sementara Nabila pernah berkahwin dengan aktor, Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.