Berita
Nadi Arena Mula Bersiaran Selama Satu Jam Mulai 6 Julai Ini!
Buletin sukan, Nadi Arena akan mula bersiaran selama satu jam mulai Isnin, 6 Julai 2020 ini.
Menurut Ketua Kandungan Sukan Astro, Nicholas John, pihak Astro Arena telah menyusun kandungan dengan sebaiknya untuk lanjutan tempoh siaran itu.
"Astro Arena telah menyusun strategi dan kandungan kami dengan sebaik mungkin sebelum membuat keputusan melanjutkan tempoh siaran berita sukan ini.
"Dalam tempoh satu jam itu, penonton akan menyaksikan empat segmen dibahagikan dengan menarik yang merangkumi berita sukan tempatan dan antarabangsa," ujarnya.
Nicholas berkata demikian ketika ditemubual di pejabat urusan Astro Arena, Petaling Jaya hari ini.
Ketua Kandungan Sukan Astro, Nicholas John
Dalam pada itu, penyampai Nadi Arena, Edleen Ismail menambah, cara persembahan buletin sukan itu juga akan diubah menjadi lebih santai dan menarik.
"Kami juga akan melakukan perubahan pada cara penyampaian, format dan cara percakapan haruslah tidak terlalu berat dan formal, bergantung kepada konteks sesebuah berita.
"Dengan cara ini, ia dapat menjadikan berita sukan yang bersiaran selama satu jam kelihatan lebih menarik," tambahnya.
Selain Edleen, antara wajah lain yang menghiasi buletin sukan ini adalah Akbar Sahari, Suzana Basri, Hafizal Hamad dan Azlan Mubin.
Nadi Arena juga akan diperkuatkan oleh dua wartawan penyiaran baru iaitu Irfan Ali dan Alice Harun.