Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Nadiyah Shahab Rindu Nak Kembali Berlakon, Tapi… “Tidak Adil Untuk Saya Lepas Tangan”

Asyikin Mayudin 02/11/2022 | 05:55 MYT
Sibuk menguruskan perniagaan, pelakon Nadiyah Shahab mengakui dia menyimpan perasaan rindu untuk kembali ke dunia lakonan.

Mahu memberi komitmen sepenuhnya, Nadiyah berkata dia tidak mahu lepas tangan dan membiarkan suaminya Ben Ali seorang sahaja menguruskan perniagaan mereka.

“Teringin juga nak kembali berlakon tapi masa pula tidak mengizinkan. Apatah lagi jika di set penggambaran, kita tidak dapat menduga jangkaan masa di lokasi.

“Jadi tidak adil untuk saya lepas tangan dan membiarkan Ben menguruskan perniagaan seorang. Apa pun biar kami berdua bersama-sama,” katanya.

Nadiyah ditemui di majlis sidang media konsert Absolut Music Festival yang bakal berlangsung selama 3 hari bermula Jumaat 4 November sehingga Ahad 6 November 2022.

Sebagai Ketua Pengarah Eksekutif Absolut Brands Sdn Bhd, Nadiyah meluahkan rasa teruja dengan konsert percuma yang bakal berlangsung itu.

“Semakin dekat tempoh acara yang bakal dianjurkan semakin berdebar-debar. Apa pun boleh terjadi dalam tempoh ini, jadi saya berdo semuanya berjalan dengan lancar.

“Malah, jika ada acara sebegini, keluarga di Singapura juga tidak putus melakukan solat hajat setiap hari. Saya percaya doa dan restu keluarga juga memainkan peranan penting,” katanya.

Konsert tersebut menampilkan seramai 18 penyanyi terkenal tanah air dan beberapa artis baharu tempatan digandingkan di atas satu pentas yang sama.

Barisan selebriti yang akan membuat persembahan adalah kumpulan SEARCH, Alleycats, Joe Flizzow, Andi Bernadee, Akim & The Majistret, Aman Ra, Floor 88, Faizal Tahir, Bunkface, Elizabeth Tan, DOLLA, Janna Nick, Ayda Jebat, Kugiran Masdo, Kidd Santhe, Projector Band, ForceParkBois dan Insomniacks.

Selain itu, konsert ini bakal memperkenalkan dua kumpulan wanita terbaharu iaitu The Gadys dan The Sara Sisters.

#Ben Ali #Nadiyah Shahab #Ben #Nadiyah #Nadiyah Ben
;