Hiburan
Nafi Terlibat Salah Laku, Afdlin Shauki Buat Laporan Polis - “Agenda Pihak Ini Hanya Didorong Oleh…”
Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki menafikan sekeras-kerasnya terdapat salah laku dalam perolehan sebuah projek bawah naungan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Jelas pelakon yang popular dengan filem Baik Punya Cilok itu, dakwaan tersebut merupakan satu usaha untuk memburukkan nama baiknya.
“Baru-baru ini, telah tular sebuah hantaran dalam Telegram Channel Edisi Siasat yang cuba mengaitkan saya dengan tuduhan salah laku dalam perolehan sebuah projek bawah naungan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Pertama sekali, saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa telah terdapat apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek tersebut.
“Untuk perhatian saudara saudari sekalian, ini merupakan sebuah usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam yang tidak bertempat,” katanya.
Pada masa sama, Afdlin juga memaklumkan bahawa dia sudah membuat satu laporan polis dan perkara ini sedang disiasat oleh pihak DBKL.
“Saya juga telah membuat satu laporan polis bersama pihak PDRM pada hari ini untuk membolehkan siasatan dijalankan berkenaan perkara ini.Saya difahamkan perkara ini juga sedang disiasat secara dalaman oleh DBKL,” ujarnya dalam satu kenyataan di Instagram.
Afdlin juga menyatakan bahawa dia sendiri bersedia untuk memberi kerjasama dan menyeru orang ramai untuk memberi ruang kepada pihak berwajib melakukan siasatan.
“Saya juga bersedia untuk memberi kerjasama penuh dalam mana-mana siasatan yang dijalankan berhubung perkara ini oleh mana-mana agensi penguatkuasaan. Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan untuk berleluasa.
“Saya yakin dan pasti dengan izin Allah SWT akhirnya kebenaran akan tersuluh dan keadilan akan ditegakkan,” tambahnya.
Terdahulu, nama Afdlin telah dikaitkan dengan tuduhan salah laku dalam perolehan sebuah projek bawah naungan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Hantaran itu telah tular menerusi Telegram Channel Edisi Siasat.