Laman Utama
Naib Juara ATNM 'Dem Lepak Boyz' Lancar Single Pertama Berjudul Abang Datang - "Ia Tentang Individu Dipandang Rendah Masyarakat"
Naib juara program nyanyian ‘All Together Now Malaysia’ (ATNM) musim pertama, Dem Lepak Boyz (DLB) yang dianggotai terjun ke bidang nyanyian menerusi single pertama berjudul Abang Datang.
Duo bertenaga dan penuh dinamik yang dianggotai oleh dua penari berpengalaman, Zaidy dan Hazel optimis dengan portfolio baharu sebagai penyanyi.
"Alhamdulillah, sejak menjadi naib juara ATNM ramai yang membuka mata terhadap bakat DLB. Mungkin pada awal kemunculan, kami hanya dikenali sebagai kumpulan penari, kini portfolio DLB bertambah dengan adanya bidang nyanyian.
"Kami juga ingin berterima kasih yang setingginya buat pihak Rocketfuel kerana memberi peluang kepada DLB selain percaya dengan bakat yang kami ada," kata Zaidy.
Single Abang Datang dalam genre pop hip-hop dengan elemen ‘trap’ mendapat sentuhan barisan komposer disegani iaitu Omar K, Iqie Hugh dan John Jeeves.
Lagu itu mengambil masa 3 minggu untuk disiapkan yang merangkumi proses rakaman dari mula sehingga akhir.
"Pihak Rocketfuel pada mulanya ada memberitahu kami tentang lagu baru yang telah disiapkan dan mahukan kami menyanyikannya. Kami agak terperanjat kerana ia berlaku dengan mengejut. Namun kesemuanya kami anggap sebagai rezeki.
"Sebelum masuk ke studio, kami terlebih dahulu mengadakan sesi ‘brainstorming’ demi mencari melodi yang sesuai dan ‘kena’ dengan citarasa kami, maka lahirlah single Abang Datang," jelas Hazel.
Abang Datang adalah sebuah lagu yang menceritakan tentang individu yang sering dipandang rendah atau remeh oleh masyarakat, namun mesej yang dibawakan mengajak agar semua bangkit dan menepis pandangan tersebut.
"Apa yang kami cuba sampaikan dalam Abang Datang adalah mengingatkan pada semua yang kita mampu menghadapi sebarang masalah dan jadi lebih kuat dari sebelumnya," tambah Zaidy.
Selain single, video muzik (MV) Abang Datang yang turut diriliskan serentak menampilkan jalan cerita dan konsep yang menarik dengan adanya adegan pergaduhan di dalam sebuah gelanggang tinju!
Perjalanan seni DLB bermula hampir sedekad yang lalu, ketika itu mereka pernah memjuarai sebuah program pertandingan tarian urban berkumpulan iaitu ‘Showdown’ pada tahun 2012.
Pada awalnya, DLB dianggotai senior dalam bidang tarian. Kemudian, pada tahun 2021, DBL mencuba nasib menyertai ujibakat ATNM dan akhirnya terpilih sebagai naib juara.
Dem Lepak Boyz merupakan nama yang diberikan oleh anggota yang terdahulu, kini tugas tersebut diserahkan kepada Zaidy dan Hazel dalam menyambung legasi nama kumpulan itu.
"Siapa sangka, permulaan yang hanya suka-suka akhirnya membuahkan hasil," jelas Hazel.
"Dahulunya, DLB lebih sinonim dengan bidang tarian sahaja. Setelah masa berlalu, kami berkembang dengan menceburi bidang nyanyian. Dan mana tahu pada masa akan datang, DLB mungkin terjun ke bidang lakonan pula. Kalau boleh kami nak cuba kesemua cabang seni," kata Zaidy.
Menurut Ketua Label dan Penerbitan Rocketfuel Entertainment, Erick Yew, pemilihan DBL untuk menjadi keluarga Rocketfuel kerana kombinasi unik mereka.
"Kami mengambil keputusan untuk menjadikan DLB sebagai sebahagian dari Rocketfuel kerana kombinasi unik yang mereka ada.
"Walaupun baru, mereka mempunyai pengalaman yang mendalam dalam bidang seni. Dengan munculnya single Abang Sayang, semoga DLB bakal menggegarkan industri muzik tanah air dengan kehadiran mereka," katanya.
Lagu ‘Abang Datang’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.
Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.