Laman Utama
An Najwa Mahu Bantu Johor Jewels Bawa Pulang Trofi Kejuaraan
Kehebatan An Najwa di gelanggang dengan aksi lincah yang dipamerkan tidak boleh disangkal lagi. Pemenang emas sukan sea 2017 itu kini sedang berjuang bersama pasukan Johor Jewels bagi membawa pulang trofi Kejohanan Liga Bola Jaring 2022.
Menurut An atau nama aslinya An Najwa Azizan, 26, tiada istilah kalah dalam dirinya setiap kali turun bertanding dalam mana-mana kejohanan.
“Untuk saya tiada istilah mengaku kalah, setiap atlet mahukan kemenangan.
“Secara individu memang saya nak menang, saya main untuk Johor saya nak champion.
“Dari mula sesi latihan sebelum bermula kejohanan pun saya dah simpan niat untuk jadi juara,” katanya.
Tambah Najwa pada awalnya dia merasa sedikit risau untuk bermain bersama pasukan Johor buat kali pertama.
“Jika tahun sudah saya bermain untuk pasukan Selangor, tapi tahun ni saya bermain untuk Johor.
“Pada mulanya saya memang rasa sedikit nervous, sebab saya berada dalam pasukan baru, saya kena suaikan diri dengan persekitaran baru.
“Bagaimanapun sebagai atlet, saya tak kisah pun berada di mana-mana pasukan, sebabnya secara individu saya masih perlu beri sepenuhnya untuk setiap perlawanan.
“Dalam Johor pun ada pemain-pemain yang saya dah lama bermain bersama seperti Fariha dan Alexist Pow, jadi tiada masalah untuk kami,” kata penjaring tinggi lampai itu.
Terkini pasukan Johor Jewels menduduki tangga pertama bagi kedudukan semasa kejohanan dan bakal menentang KL Wildcats pada Sabtu serta Selangor Angels pada Ahad.
Dibawakan khas oleh Sooka, peminat boleh membeli tiket di www.ticket.com.my untuk menyaksikan secara langsung di Stadium Juara setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 3 hingga 26 Jun 2022 atau menonton di Astro Arena, saluran 801, atau melalui applikasi Sooka yang boleh dimuat turun dari Google Play dan App Store.